Zainal Abidin rai karier empat dekad dalam konsert istimewa

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR : Lima tahun lalu, penghibur terkenal, Datuk Zainal Abidin meraikan ulang tahun ke-35 pembabitannya dalam dunia seni menerusi The Musical Journey of Zainal Abidin: 35th Anniversary Concert yang diadakan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara.

Konsert solo julung kali itu menyaksikan Zainal, 64, berkongsi kisah pengembaraannya lebih tiga dekad mencipta nama di pentas seni.

Pada konsert itu, anak jati Johor ini menceritakan detik awal kerjaya nyanyiannya, bermula sebagai vokalis kumpulan Headwind sehinggalah mengambil keputusan bergerak solo, sekali gus mencipta fenomena menerusi lagu Hijau yang menjadi tanda dagangnya.

Selepas tiga dekad Hijau dirakamkan, Zainal kembali hadir dengan buah tangan terbaru berjudul Tiba Masa.

Sempena kemunculan buah tangan terbarunya itu dan meraikan ulang tahun ke-40 dalam belantara muzik, Zainal bakal tampil pada Konsert ‘Tiba Masa… Zainal Abidin di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, pada 30 September ini.

Mengulas persembahan bakal ditampilkan pada konsert itu, Zainal atau nama penuh, Zainal Abidin Mohamed memberitahu, tiada gimik yang akan dipentaskan.

Sebaliknya, konsert itu nanti bergantung sepenuhnya kepada bakat dan pengalaman yang ada sebagai sajian peminat.

“Saya bukanlah penyanyi yang gemarkan gimik. Setiap kali mengadakan persembahan, saya pertaruhkan bakat seni. Semua peminat saya tahu mengenai perkara itu.

“Persembahan saya pada malam itu dibahagikan kepada tiga segmen. Segmen pertama mengimbau nostalgia penonton apabila saya akan menyanyi bersama Headwind.

“Segmen seterusnya, saya menyanyi secara solo. Sudah tentu saya akan persembahkan lagu hit seperti Hijau, Inayah, Kau Di Hatiku, Orak Arek dan banyak lagi.

“Selepas itu barulah muncul segmen untuk lagu Tiba Masa. Tidak dinafikan ada beberapa kejutan menanti penonton pada malam konsert itu kelak,” katanya pada sidang media pelancaran single Tiba Masa dan pengumuman konsert Tiba Masa… Zainal Abidin di Bangsar, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Bsync Live, Adam Mazelan yang bertindak sebagai penganjur konsert itu.

Mengulas pemilihan IB sebagai lokasi persembahan, Zainal mahu peminat selesa ketika menyaksikan konsert itu.

“Saya pilih IB kerana sesuai dengan konsep muzik yang saya bawa. Lagipun, kebanyakan peminat saya adalah mereka yang sudah dewasa dan ada kedudukan dalam kerjaya mereka.

“Mereka hendak duduk dengan selesa ketika menonton, bukannya berdiri di zon khas seperti di lokasi lain. Saya kena sesuaikan dengan kehendak mereka.

“Biarpun IB ada peraturan tersendiri, namun, penonton dialu-alukan untuk bangun menyanyi dan menari bersama saya. Cuma janganlah rakam, nanti kena pancaran laser,” katanya sambil ketawa.

Zainal dijangka membuat persembahan tanpa henti selama dua jam dengan diiringi barisan pemuzik tersohor antaranya Mac Chew dan Michael Veerapan.

Pada majlis itu, Zainal turut melancarkan video muzik Tiba Masa yang diarah isterinya, Datin Angelina Asmawi.

Mengambil masa hanya dua jam untuk melengkapkan penggambaran, video muzik bertemakan alam sekitar itu mengetengahkan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang pertama seumpamanya di Malaysia.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427