Yang di-Pertuan Agong perkenan lima akta

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan lima akta yang diluluskan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 yang lalu.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng, berkata ini membabitkan Akta Perbekalan 2023; Perbekalan Tambahan (2022) 2023; Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023; Akta Kanun Acara Jenayah (Pindaan) 2023 dan Akta Levi Keuntungan Luar Biasa (Pengesahan) 2023.

Beliau berkata demikian ketika memulakan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen ke-15, di sini hari ini.

Alice turut memaklumkan dewan mengenai perutusan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim yang menyatakan persetujuan Dewan Negara terhadap semua 13 rang undang-undang yang diluluskan Dewan Rakyat, pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 yang lalu.

Sementara itu, beliau berkata, Hari Terbuka Parlimen selama dua hari yang diadakan pada 6 dan 7 Mei lalu mendapat sambutan yang baik, dan akan dijadikan acara tahunan Parlimen.

“Di kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Hari Terbuka Parlimen,” katanya.

Pada 6 Mei lalu, buat julung kali Parlimen Malaysia ‘membuka pintunya’ kepada orang ramai menerusi penganjuran Hari Terbuka Parlimen selama dua hari bagi memberi ruang mengenali lebih dekat peranan institusi itu sebagai badan perundangan tertinggi negara dan sejarahnya.

Alice juga meminta semua Ahli Parlimen untuk mematuhi waktu yang ditetapkan ketika waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dan Jawab Lisan bagi membolehkan soalan sehingga nombor 15 dapat dijawab setiap hari.

Beliau juga menasihati agar Ahli Dewan Rakyat agar memakai pelitup muka sepanjang persidangan sebagai langkah pencegahan COVID-19 serta mengambil langkah bersesuaian menjaga diri masing-masing, memandangkan cuaca kini agak panas. – BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427