KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam agenda ekonomi negara dan Belanjawan 2022, terutama untuk kumpulan belia dan individu sosioekonomi berisiko tinggi.
Pengarah Dasar Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Dr Teo Lee Ken, berkata kerajaan melalui Kementerian Kewangan dan menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz perlu melaksanakan tindakan, iaitu terus membantu rakyat dan memulihkan negara.
Katanya, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan menyatakan, setakat Ogos lalu, lebih 40,000 orang hilang pekerjaan pada tahun 2021 dan lebih kurang 5,000 orang hilang kerja setiap bulan.
“Keadaan ini kritikal dan cukup membimbangkan. Sebanyak 20 peratus daripada kumpulan berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40), beralih status ke kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40), dengan jumlah 639,800 keluarga isi rumah miskin pada tahun 2020.
“Gaji purata graduan menurun daripada RM4,643 (2019) kepada RM4,171 pada tahun 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, perolehan itu menunjukkan kerajaan digesa menjalankan langkah fiskal dan program pembangunan ekonomi yang meringankan bebanan rakyat, termasuk dalam perangkaan Belanjawan 2022 yang bakal diumumkan Oktober ini.
Katanya, selain mewujudkan peluang pekerjaan, kerajaan perlu memperkenal cukai keuntungan relevan kepada industri yang memperoleh keuntungan besar kerana pandemik.
“Perkasakan ketelusan dalam proses kutipan dan agihan pendapat cukai negara supaya tidak ada penyelewengan.
“Perangkaan Belanjawan 2022 diharap dilaksanakan secara adil dengan bantuan kebajikan, terutama golongan miskin dan memerlukan termasuk anak yatim, pelajar sekolah, mahasiswa, ibu tunggal dan graduan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan dapat memfokuskan pelaburan dan permerkasaan industri seperti sektor makanan, perkhidmatan, sukan, budaya dan pelancongan/perhotelan.
“Diharap kerajaan dapat memperkasa semula hubungan perdagangan antarabangsa yang berhubung rapat dengan negara sebelum ini.
“Dengan ini, ekonomi negara dapat dipulihkan seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan, terutama golongan muda,” katanya. -BH