KUALA LUMPUR- Atlet lompat jauh paralimpik negara, Jonathan Wong Kar Gee, meneruskan persembahan mengagumkan di pentas antarabangsa apabila meraih pingat perak dalam kategori T12 lelaki (masalah penglihatan) pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada Khamis (Jumaat di Malaysia).
Atlet berusia 28 tahun dari Sabah itu berjaya merangkul pingat emas pada Kejohanan Olahraga Paralimpik Grand Prix Terbuka Dunia Handisport di Paris, Perancis pada Ogos lepas dengan lompatan sejauh 7.06 meter, menurut laman web Paralimpik, www.paralympics.org.
Bagaimanapun, jarak itu jauh daripada catatan peribadi terbaiknya iaitu 7.22m di Terbuka China, Mei tahun lepas.
Pemenang pingat gangsa Olimpik Rio 2016, Doniyor Saliev dari Uzbekistan, memenangi pingat emas dengan mencatatkan rekod baharu iaitu 7.44m, memadamkan rekod 7.10m oleh juara Paralimpik empat kali, Hilton Langenhoven dari Afrika Selatan pada edisi 2006 di Assen, Belanda.
Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Kamil Aliyev dari Azerbaijan, bagaimanapun meraih pingat gangsa dengan lompatan sejauh 7.00m.- BERNAMA