WHO sasar ratusan juta vaksin COVID-19 dihasilkan sebelum 2021

Estimate Reading Time: 2 minutes

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam berkata beberapa ratus juta dos vaksin COVID-19 dapat dihasilkan pada akhir tahun ini – dan disasarkan kepada mereka yang paling terdedah terhadap virus.

Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata, ia sedang mengusahakan sasaran itu, dengan jangkaan dua bilion dos pada akhir 2021, tatkala firma farmasi bergegas mencari vaksin.

Ketua saintis WHO, Soumya Swaminathan, berkata penyelidik sedang mengusahakan lebih dari 200 calon vaksin di seluruh dunia, termasuk 10 yang sedang diuji terhadap manusia.

“Sekiranya kita sangat bertuah, akan ada satu atau dua calon yang berjaya sebelum akhir tahun ini,” katanya pada sidang media maya.

Beliau mengenal pasti tiga kumpulan yang paling memerlukan gelombang pertama dos vaksin.

Mereka adalah petugas barisan hadapan dengan pendedahan tinggi, seperti pegawai perubatan dan polis; mereka yang paling terdedah kepada penyakit itu, seperti orang tua dan pesakit kencing manis; dan orang-orang dalam persekitaran penularan tinggi, seperti kawasan setinggan bandar dan rumah jagaan.

“Anda harus mulakan dengan yang paling terdedah dan kemudian secara progresif memberi vaksin kepada lebih ramai orang,” kata Swaminathan.

“Kami berusaha dengan anggapan bahawa kami mungkin mempunyai beberapa ratus juta dos pada akhir tahun ini, sangat optimis,” katanya.

“Kami berharap pada tahun 2021 kita akan mendapat dua bilion dos, dua atau tiga vaksin yang efektif untuk diedarkan ke seluruh dunia. Tetapi ada ‘jika’ yang besar, kerana kita belum mempunyai vaksin yang terbukti berkesan.

“Tetapi, kerana semua pelaburan ditumpukan untuk ini, katakan kita mempunyai dua bilion dos pada akhir 2021 – kita seharusnya dapat sekurang-kurangnya menggunakan vaksin terbabit untuk penduduk yang menjadi keutamaan ini.”

Eksekutif syarikat farmaseutikal akhir bulan lalu mengatakan bahawa satu atau beberapa vaksin COVID-19 mungkin boleh mula dilancarkan sebelum 2021, tetapi memberi amaran bahawa anggaran sebanyak 15 bilion dos diperlukan untuk membendung virus terbabit.

Swaminathan berkata, saintis telah menganalisis 40.000 urutan COVID-19 dan disebabkan semua virus bermutasi, virus itu setakat ini kurang bermutasi berbanding influenza, dan belum bermutasi di kawasan utama yang akan mengubah tahap bahaya penyakit atau tindak balas imun.

Rabu lalu, WHO memutuskan untuk menghentikan percubaan penggunaan hidroksiklorokuin sebagai rawatan untuk pesakit COVID-19 yang dirawat di hospital, selepas bukti dari penyelidikannya sendiri dan pihak lain mendapati bahawa ia tidak berpengaruh kepada penurunan kadar kematian.

Ubat malaria dan rheumatoid arthritis yang berusia puluhan tahun, hidroksiklorokuin telah menjadi tumpuan kontroversi politik dan saintifik. – AFP

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427