KUALA TERENGGANU: Hampir 1,000 warga Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik di Chukai, Kemaman, yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), diberikan cuti bencana.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong, berkata cuti bencana diberikan selepas sebahagian daripada bilik darjah digunakan sebagai tempat berlindung kira-kira 383 mangsa banjir.
Katanya, SK Kemasik yang mempunyai kira-kira 900 murid dan 60 guru dijadikan PPS sejak gelombang pertama banjir melanda daerah Kemaman, kelmarin.
“Semua guru serta pelajar Tahun 1 hingga 6 diberi cuti bencana sehingga keadaan pulih sepenuhnya,” katanya.
Jelani berkata, satu lagi sekolah, iaitu SK Teluk Kalong turut dijadikan PPS, tetapi sesi persekolahan diteruskan seperti biasa kerana tidak menggunakan terlalu banyak kelas.
Katanya, sebanyak 90 sekolah menengah dan rendah di seluruh negeri ini dijadikan PPS untuk menempatkan mangsa banjir dan tiada yang ditutup disebabkan banjir.
-BeritaHarian