Warga seni luahkan rasa kekecewaan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Belumpun sebulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, namun sudah ada segelintir warga seni sudah ‘berkokok’ menyalahkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berikutan penangguhan kerja penggambaran sejak 13 Januari lalu.

Kebanyakan warga seni mula menyuarakan kekecewaan apabila aktiviti penggambaran tidak dibenarkan hingga menjejaskan periuk nasi mereka.

Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid berkata, pihaknya faham dan prihatin dengan kegelisahan warga industri kreatif berikutan PKP 2.0 hingga kerja penggambaran terhenti.

“Ada penerbit menyuarakan kekecewaan dengan penangguhan ini, tetapi kami juga mendapat pandangan di kalangan pelakon dan petugas balik tabir yang bimbang penggambaran boleh menyebabkan mereka dijangkiti pandemik COVID-19.

“FINAS bertanggungjawab dalam memastikan penggiat industri tidak terus terdedah dengan pandemik dalam keadaan jangkitan positif hingga 4,000 kes sehari. Pendapatan untuk kelangsungan hidup perlulah diseimbangkan dengan jaminan keselamatan kesihatan dan nyawa.

“Kami sedia maklum rintihan dan cadangan dalam menangani polemik ini. FINAS sudah menyiapkan beberapa pelan cadangan program inisiatif sebagai timbal balas meringankan bebanan sumber pendapatan terutama petugas balik tabir untuk dikemukakan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM),” katanya kepada BH Online.

Zakaria berkata, FINAS yakin, sebagaimana keprihatinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan, sektor industri kreatif juga tidak diketepikan dan akan mendapat inisiatif sewajarnya dalam masa terdekat.

“Saya menyeru rakan penerbit, pelakon dan petugas balik tabir dapat bersabar dan berlapang dada dalam menghadapi kegawatan ini.

“Bukan kita sahaja yang menanggung bebanan ini, tetapi semua sektor dalam negara turut terpalit, malah seluruh dunia merasainya.

“Hindari daripada mengeluarkan kenyataan yang beremosi dan mengeruhkan lagi suasana. Kami sentiasa terbuka menerima aduan, rayuan dan pandangan membina demi kelangsungan hidup bersama,” katanya.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427