Warga Indonesia dihadap ke mahkamah edar syabu 7.4 kilogram

Estimate Reading Time: < 1 minute

TAWAU: Seorang penganggur warga Indonesia berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 7.4 kilogram, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Ahmad, 22, yang berasal dari Bulukumba, Indonesia itu hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar 7.4 kilogram syabu di kawasan Jeti Awam Tawau, pada jam 10.10 pagi, 8 Ogos lalu dan sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dengan minimum 15 sebatan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan memandangkan kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin dari Ibu Pejabat Polis Daerah IPD Tawau yang tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu hasil laporan kimia sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427