Warga emas mengaku tembak mati lima lembu ceroboh kebun

Estimate Reading Time: < 1 minute

JASIN: Seorang lelaki warga emas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dua pertuduhan termasuk menembak mati lima lembu yang menceroboh kebun sawitnya di Felda Bukit Senggeh, April lalu.

Tertuduh, Midon Lambak, 79, membuat pengakuan itu sejurus dibacakan pertuduhan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menembak mati lima lembu menggunakan senjata jenis shotgun 12 Bore jenis Baretta A303 di kebun Felda Bukit Senggeh, Nyalas, Asahan di sini, pada 15 April lalu, kira-kira 7.30 pagi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39(a) Akta Senjata 1960, sabit kesalahan boleh dihukum maksimum setahun penjara atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, pada masa, tempat dan tarikh sama, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan khianat dengan membunuh atau mencacatkan seekor lembu yang bernilai RM5,000 sehingga menyebabkan kematiannya.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau kedua-dua, jika disabitkan.

Mahkamah bagaimanapun, menangguhkan hukuman pada 17 Julai depan bagi membolehkan pendakwaan menyediakan barang kes, senjata digunakan.

Siasatan polis mendapati, tertuduh bertindak demikian kerana berang apabila lembu itu dibiarkan berkeliaran tanpa kawalan oleh pemiliknya sehingga merosakkan tanamannya beberapa kali.

Tertuduh juga dikatakan sudah memaklumkan perkara itu namun tidak diambil tindakan oleh pemiliknya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib yang melakukan pendakwaan mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Namun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah itu dikurangkan kerana tidak bekerja dan tinggal seorang diri.

Katanya, anak-anaknya sudah berkahwin selain dia kerap diserang strok ringan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427