KUALA LUMPUR: Wanita warga emas yang kesepian berusia 61 tahun dan ke atas menjadi golongan tertinggi terpedaya taktik penipuan love scam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Yusuff, berkata berdasarkan statistik tahun lalu, seramai 173 warga emas berusia 61 tahun ke atas terjerat penipuan love scam.
Menurutnya, jumlah kerugian bagi penipuan love scam meningkat daripada RM43.9 juta pada 2023 kepada RM45.9 juta pada 2024.
Beliau berkata, daripada 770 kes love scam dicatatkan tahun lalu, 75.6 peratus atau 582 mangsa membabitkan wanita.
“Trend yang sama turut direkodkan pada 2023 yang mana 79.6 peratus atau 744 mangsa adalah wanita.
“Love scam adalah kategori penipuan yang dilakukan individu atau kumpulan dengan memanipulasi emosi serta perasaan mangsa untuk mendapatkan manfaat khususnya dari sudut kewangan.
“Taktik yang digunakan sindiket semakin kompleks dan pelbagai, membuatkan ramai mangsa terjebak dalam perangkap mereka tanpa disedari,” katanya pada sidang media di Menara KPJ, di sini, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan analisis data, JSJK mendapati aplikasi yang sering digunakan sindiket untuk mencari mangsa adalah Facebook dan WhatsApp.
Katanya, sebanyak 335 kes dilaporkan tahun lalu membabitkan platform Facebook, manakala WhatsApp sebanyak 299 kes.
-BeritaHarian