Wanita langgar 2 peserta KL Marathon kena tahan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Polis menahan pemandu wanita yang dipercayai terbabit dalam kes langgar lari dua peserta larian Standard Chartered KL Marathon di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), dari arah Ampang hala ke Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE), awal pagi semalam.

Wanita berusia 25 tahun itu ditahan di Jalan Taman Emas, Kepong, di sini kira-kira jam 11.10 malam semalam dan polis turut merampas kenderaan jenis Honda City yang dipandu dalam kejadian itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata pemeriksaan ke atas suspek menemui enam bungkusan aluminium foil berisi pil dadah dipercayai Erimin 5.

“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang dan saringan air kencing yang dijalankan menunjukkan wanita itu positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah namun dia mempunyai satu rekod saman kemalangan jalan raya yang masih belum dijelaskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azman berkata, spesimen darah suspek turut diambil di Hospital Ampang bagi tujuan analisis ujian darah oleh Jabatan Kimia.

“Syarikat kereta sewa yang menyewakan kenderaan itu sudah tampil membuat laporan polis dan mengaku menyewakan kenderaan itu kepada suspek.

“Suspek yang tidak bekerja kini direman empat hari bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau berkata, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 pagi itu, dua peserta lelaki berusia 44 tahun dirempuh kereta dipandu suspek yang terbabas di laluan berkenaan, menyebabkan kedua-duanya cedera.

Seorang mangsa retak tulang pinggul dan dirawat di zon merah di Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala seorang lagi yang luka pada kaki menerima rawatan di zon hijau hospital sama.

Siasatan mendapati kenderaan suspek yang dalam perjalanan dari arah Ampang ke Gombak di lorong kanan, hilang kawalan sebelum terbabas melanggar dua peserta larian yang berada di lorong kiri.

Selepas pelanggaran, kereta terbabit terus meninggalkan lokasi kemalangan dan pemandunya tidak tampil di mana-mana balai polis untuk melaporkan kejadian itu.-BHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427