Wanita hamil 9 bulan curi gelang emas RM45,000

Estimate Reading Time: < 1 minute

ARAU: Polis menahan seorang wanita yang sedang sarat hamil sembilan bulan bersama kakak angkatnya, kerana dipercayai mencuri dua utas gelang tangan emas bernilai RM45,000 dari sebuah kedai emas di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi, berkata pihaknya menerima aduan pada jam 5.52 petang semalam, daripada seorang jurujual sebuah kedai emas di pekan Arau bahawa seorang wanita datang ke kedainya ingin membeli barang kemas.

“Ketika kejadian, suspek yang mengandung sembilan bulan meminta melihat dua utas gelang tangan emas, yang dipamerkan dalam meja pameran.

“Dia melihat barang kemas itu kira-kira sepuluh minit, sebelum melarikannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Mohsin berkata soal siasat awal mendapati suspek berusia 29 tahun itu, mengaku mencuri gelang tangan itu dan melarikan diri dengan membonceng sebuah motosikal, yang dibawa kakak angkatnya yang berusia 36 tahun, di hadapan kedai itu.

“Siasatan di tempat kejadian dijalankan, dibantu pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis dan berjaya menemukan kesan cap jari suspek berusia 29 tahun,” katanya.

Ahmad Mohsin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Beliau berkata, suspek berusia 36 tahun direman tiga hari hingga Ahad ini bagi membantu siasatan, manakala suspek berusia 29 tahun yang mengandung sembilan bulan dilepaskan dengan jaminan polis.

– BERNAMA

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427