DUNGUN: Seorang suri rumah cedera pada muka dan badan selepas diseret kereta dipandu suaminya di daerah ini, kelmarin.
Mangsa berusia 32 tahun sebelum itu dikatakan cuba menghalang tindakan suspek berusia 32 tahun melarikan anak lelaki mereka berusia 14 bulan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi ketika mangsa berada di rumah bersama anak lelaki mereka sebelum dikejutkan dengan kehadiran suspek menaiki kereta Proton Exora.
Katanya, suspek terus membawa bayi mereka masuk ke dalam keretanya sebelum cuba keluar dari kawasan rumah berkenaan.
“Mangsa segera menghalang tindakan suspek dengan mengetuk cermin pintu kereta namun tidak diendahkan suspek yang terus memecut keretanya dan menyeret mangsa.
“Akibat tindakan itu, mangsa yang terseret luka pada pipi, sakit di bahu, luka di jari kelingking serta jari hantu dan luka pada kedua-dua lututnya.
“Kejadian yang berlaku di hadapan rumah mangsa turut disaksikan abangnya yang secara kebetulan berada di lokasi kejadian,” katanya.
Baharudin berkata, pasangan terbabit dalam proses perceraian dan suspek datang ke daerah ini bagi menghadiri perbicaraan perceraian mereka di Mahkamah Syariah Dungun pada hari kejadian tetapi ditunda.
Katanya, usaha mengesan suspek giat dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 (A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
-BH