Wang tunai ‘tak laku’ di mesin tiket susahkan pengembara

Estimate Reading Time: 3 minutes

SETIBANYA di tanah air selepas tugasan di luar negara selama seminggu, baru terasa betapa rindunya kita kepada nasi lemak dan teh tarik, malah perkara remeh seperti berjumpa penduduk senegara dirasakan bagai suatu kenikmatan.

Sejurus tiba, penulis bergegas untuk menaiki kereta api ekspres kembali ke ibu negara, tetapi semua kaunter tiket ditutup pula, digantikan dengan mesin tetapi tidak boleh membayar guna wang tunai, hanya kad diterima.

Terdapat beberapa penumpang, termasuk warga asing termanggu-manggu kerana menghadapi masalah seperti penulis, iaitu ada wang tunai tetapi tiada kad kredit mahupun debit boleh digunakan.

Terdapat tiga kakitangan syarikat kereta api berkenaan, dua wanita dan seorang lelaki, kononnya untuk membantu penumpang, tetapi apabila ditanya: “Kenapa tidak boleh guna wang tunai,” jawabnya dalam bahasa Inggeris: “Maaf tuan, kami tidak guna wang tunai sekarang.”

Itulah jawapannya apabila berulang kali ditanya, bagaikan burung tiong yang hanya diajar ungkapan itu, apabila ditanya bagaimana kalau tiada kad kredit atau debit, jawabnya dengan bahasa Inggeris: “Anda boleh mengambil bas,” dengan senyuman dikesan sinis.

Memang bijak syarikat ini memilih kakitangan kerana ‘menghalau’ pelanggan. Sepatutnya, bagi syarikat beroperasi di pintu masuk antarabangsa, mereka bukan sahaja wajar menerima mata wang Malaysia, sebaliknya perlu ada kelonggaran untuk menerima bayaran dalam mata wang asing.

Ini kerana ada pelancong asing yang mahu menghabiskan ringgit dalam simpanannya sebelum pulang ke tanah air atau mereka yang baharu tiba di Malaysia mungkin belum sempat menukar wang mereka kepada ringgit.

Tolak bayaran guna wang tunai

Persoalannya, bolehkah perniagaan di negara ini menolak menerima bayaran menggunakan wang tunai?

Sepatutnya, tidak boleh kerana pada asasnya kaedah pembayaran diiktiraf secara sah mesti diterima jika ditawarkan sebagai pembayaran.

Di bawah Seksyen 24 Akta Bank Negara 1958, mata wang ringgit dan syiling dikeluarkan Bank Negara, jika nota berkenaan tidak rosak atau dicemari, adalah sah di Malaysia pada nilai mukanya untuk pembayaran sebarang jumlah.

Pendek kata, mana-mana wang kertas atau syiling dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) adalah sah, jika ia tidak rosak teruk dan berada dalam keadaan baik, akan dianggap sebagai tender sah, bermaksud perniagaan harus menerima kaedah pembayaran ini.

Walaupun akta itu kini dipinda dan digantikan dengan Akta Bank Negara 2009, pada hakikatnya status pembayaran guna tunai dan syiling masih tidak berubah.

Pada dasarnya, perniagaan tidak boleh menolak wang tunai, melainkan satu pengecualian, iaitu sekiranya wang berkenaan rosak teruk.

Ada had bayaran tunai

Pada masa sama, terdapat had pembayaran mengikut nilai, umpamanya syiling 50 sen dan RM1 boleh digunakan untuk membayar hingga RM10, manakala syiling 5 sen, 10 sen dan 20 sen boleh digunakan untuk membayar sehingga RM2.

Akta 1958 tidak lagi berkuat kuasa seperti kita katakan, tetapi sekali lagi, Akta 2009 memang mengakui sebahagian tender sah sebelum ini sebagai sah yang masih boleh digunakan hari ini.

Seperti anda sedia maklum, syiling RM1 tidak lagi digunakan, bermakna nilai maksimum syiling boleh digunakan sebagai wang sah ialah 50 sen.

Jadi, jika anda cuba membayar untuk sesuatu bernilai RM15 dengan hanya duit syiling, pekedai boleh menolak bayaran sedemikian, walaupun semuanya sah.

Kesimpulannya, perniagaan sebenarnya tidak boleh menolak wang tunai walaupun mereka lebih suka kaedah pembayaran lain lebih mudah.

Mungkin ada sebab sah mereka tidak boleh mengambil wang tunai seperti tidak mempunyai cukup wang untuk memberi anda atau barangan yang anda beli mempunyai nilai sangat tinggi.

Malangnya, tiada sebarang undang-undang mewajibkan pemilik perniagaan menerima wang tunai. Jadi, walaupun mereka harus menerimanya, tiada tindakan boleh diambil jika mereka enggan berbuat demikian.

Ajukan soalan kepada Bank Negara

Seorang rakan pernah mengajukan masalah ini kepada BNM dan ini jawapan mereka:

“Kami ingin menjelaskan wang kertas dan syiling dikeluarkan BNM adalah sah (legal tender) diguna pakai untuk pembayaran bagi apa-apa urusan jual beli.

Pemilihan kaedah pembayaran bagi barangan dan perkhidmatan disediakan pula adalah keputusan komersil entiti perniagaan/institusi berkenaan.

Pihak BNM tidak mengawal hubungan kontraktual antara pelanggan dan entiti perniagaan.

Kami juga menggalakkan pembayaran secara digital kerana ia meningkatkan kecekapan keseluruhan sistem pembayaran dan memberi penjimatan kos kepada keseluruhan ekonomi.

Sehubungan dengan itu, aduan tuan tidak membabitkan sebarang perlanggaran akta di bawah penyeliaan dan pengawalan BNM yang membolehkan campur tangan lanjut oleh pihak kami.”

Maka jelaslah rungutan penulis tidak berasas sama sekali, tetapi syarikat beroperasi di pintu masuk negara sekurang-kurangnya harus prihatin dengan keperluan pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat mereka dan mempelbagaikan kaedah pembayaran termasuk menerima bayaran tunai.

Bagi kakitangan syarikat yang hanya tahu: “Maaf tuan, kami tidak guna wang tunai sekarang” dan “Anda boleh mengambil bas”, kalau pelanggan berbahasa kebangsaan, ambillah inisiatif untuk balas dalam bahasa kebangsaan, kalau tidak kita yang menjulang bahasa sendiri, siapa lagi.

Malah, Perdana Menteri India, Narendra Modi, fasih berbahasa Inggeris, hanya bertutur dalam bahasa Hindi, bahasa kebangsaan India, ketika sidang akhbar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang melakukan kunjungan hormat ke New Delhi, India antara 19 hingga 21 Ogos lalu.

Walhal, hampir separuh yang hadir adalah delagasi Malaysia termasuk wartawan. Justeru, cintailah bahasa kebangsaan dan selamat menyambut Hari Merdeka Ke-67.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427