Verbruggen jaga pintu gol Belanda jumpa Ireland

Estimate Reading Time: 2 minutes

AMSTERDAM: Penjaga gol Brighton, Bart Verbruggen akan mengawal antara dua tiang gol apabila mereka berdepan Republik Ireland di Amsterdam Sabtu ini, mengintai peluang untuk meraih kemenangan sekali gus memastikan tempat ke pusingan akhir Kejohanan Eropah di Jerman tahun depan.

Jurulatih Ronald Koeman menamatkan spekulasi mengenai siapa yang akan menjaga gol Belanda, yang menggunakan lima penjaga gol dalam tempoh 12 bulan terakhir.

Verbruggen, yang menyertai kelab Inggeris itu dari Anderlecht pada awal musim ini, menjadi pilihan berbanding penjaga gol Feyenoord, Justin Bijlow dan Mark Flekken dari Brentford.

“Bart Verbruggen akan menjaga pintu gol minggu ini. Saya fikir ia logik berdasarkan dua perlawanan terakhir yang kami harungi,” kata Koeman pada sidang akhbar semalam.

Verbruggen meraih penampilan sulungnya ketika tewas 2-1 di laman sendiri kepada Perancis dan menang 1-0 ke atas Greece pada aksi kelayakan Euro 2024 bulan lalu.

Keputusan itu meletakkan Belanda di tangga kedua di belakang Perancis yang sudah layak. Mereka terikat 12 mata dengan Greece, yang beraksi lebih satu perlawanan.

Jika Belanda gagal ketika menentang Ireland, mereka masih boleh memastikan tempat kedua dan melayakkan diri ke pusingan akhir pada perlawanan terakhir Kumpulan B menentang negara kerdil Gibraltar, yang kalah semua perlawanan peringkat kumpulan, di Faro, Portugal Selasa depan.

Sesudah mengalahkan Greece dalam kedua-dua aksi kelayakan, Belanda akan layak jika kedua-dua pasukan terikat dari segi mata.

“Dia sudah berkembang baik pada usianya,” kata Koeman mengenai Verbruggen yang berusia 21 tahun.

“Begitulah juga dengan Bijlow, tetapi sayangnya dia cedera, yang mencipta satu situasi berbeza. Bukanlah Bart 100 peratus pasti menjadi penjaga gol nombor satu ketika Kejohanan Eropah. Anda tidak boleh dan tidak patut berkata demikian. Tetapi dari segi prinsipnya ya bagi dua perlawanan ini.”

Belanda membuat kejutan apabila memilih Andries Noppert yang tidak pernah beraksi sebagai penjaga gol utama mereka pada pusingan akhir Piala Dunia di Qatar tahun lalu di bawah jurulatih terdahulu Louis van Gaal.
-REUTERS
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427