Vaksinasi remaja, pelajar di Pahang bermula Isnin ini

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUANTAN: Program vaksinasi COVID-19 kepada pelajar berusia 16 dan 17 tahun di Pahang akan bermula Isnin ini, kata Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Nor Azimi Yunus.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) juga sedang melakukan penyelarasan dengan Jabatan Pendidikan negeri berhubung pemberian vaksin berkenaan.

Katanya, pemberian vaksin kepada golongan remaja di Pahang, sudah bermula Rabu lalu di lima hospital utama iaitu Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH) di Temerloh, Hospital Pekan, Hospital Lipis dan Hospital Bentong membabitkan remaja yang mempunyai penyakit.

“Vaksinasi terhadap pelajar di Pahang akan bermula Isnin ini, tetapi vaksinasi kepada remaja yang berpenyakit sudah dibuat bermula Rabu lalu.

“JKNP kini sedang menyelaraskan urusan vaksinasi pelajar dengan Jabatan Pendidikan bagi memastikan program berjalan lancar,” katanya menerusi kenyataan di akaun Facebook, hari ini.

Sementara itu, Dr Nor Azimi berkata, setakat kelmarin, seramai 960,126 orang atau 81.7 peratus penduduk dewasa Pahang sudah disuntik sekurang-kurangnya satu dos, manakala 691,258 orang atau 58.8 peratus sudah lengkap vaksinasi.

Beliau berkata, 26,048 orang lagi sudah berdaftar dan kini menunggu untuk mendapatkan suntikan vaksin masing-masing.

“Namun masih ada seramai 189,626 orang atau 16.1 peratus yang masih belum berdaftar (untuk mendapatkan vaksin). Berdasarkan bekalan vaksin yang sangat baik, kita menyasarkan 100 peratus populasi dewasa berjaya disuntik satu dos menjelang akhir bulan ini,” katanya.

Dr Nor Azimi berkata, berdasarkan prestasi sekarang, sasaran mungkin lambat dicapai dan pelbagai strategi disusun di semua daerah bagi merancakkan proses vaksinasi termasuk melaksanakan pogram outreach di hampir semua kampung.

“Strategi walk in juga sudah dan sedang diadakan di semua daerah, namun kehadiran untuk suntikan dos pertama masih tidak mencapai sasaran. Peluang dan ruang untuk mendapat suntikan terbuka luas.

“Kita sedih dengan kes kematian akibat COVID-19 kerana sebahagian besarnya membabitkan individu yang belum divaksin,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Nor Azimi berharap penduduk Pahang yang masih belum menerima suntikan vaksin ‘menyambut peluang’ yang ada, sekali gus dapat mengurangkan tahap keseriusan jangkitan dan kematian akibat virus COVID-19. -BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427