Vaksinasi kunci negeri industri beralih ke Fasa Dua

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kerjasama sepenuhnya rakyat terhadap program vaksinasi akan membolehkan negeri penyumbang utama sektor pembuatan beralih segera kepada Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata penutupan banyak industri pembuatan seperti berlaku di Selangor akan menjejaskan perniagaan lain di sepanjang rantaian bekalan industri itu.

“Walaupun sudah ada beberapa negeri memasuki Fasa Dua dan Tiga PPN, namun negeri penyumbang utama lain masih lagi tidak berganjak ke fasa ini.

“Oleh itu, jika kebanyakan industri dalam rantaian bekalan itu kekal ditutup kerana beroperasi di negeri yang masih berada dalam Fasa Satu, pemulihan ekonomi dalam negeri-negeri Fasa Dua akan menjadi perlahan.

“Ini kerana, setiap negeri dan industri itu berkaitan antara satu sama lain ,” katanya kepada BH.

Ahmed Razman berkata, kelonggaran kepada sektor perniagaan juga boleh memberi rangsangan diperlukan kepada ekonomi negara terutama negeri yang menjadi penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar Negara (KDNK).

Katanya, pembukaan lebih banyak sektor ekonomi akan mengelakkan ramai peniaga berisiko ‘gulung tikar’, seperti yang didedahkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

“Sekatan ekonomi yang terlalu lama menyebabkan hampir separuh perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terpaksa ditutup,” katanya.

Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, pula berkata kerajaan wajar merencana strategi kesihatan yang tidak membabitkan penutupan sektor ekonomi dan sosial terlalu lama.

Kerajaan juga, katanya sukar memberikan bantuan kewangan berterusan kerana sumber yang terhad selain perlu membelanjakannya kepada pelaburan lebih produktif di masa hadapan.

“Justeru, ekonomi negara dan rakyat perlu dibuka secara beransur-ansur selaras dengan peningkatan vaksinasi harian. Antara yang utama adalah sektor pembuatan kerana mempunyai kesan pengganda tinggi dan penting untuk memacu ekonomi serta pendapatan negara.

“Malah, sektor pembuatan juga begitu terbabit dalam rantaian bekalan global. Kemungkinan besar negara yang dulunya terbabit dengan Malaysia akan membuat tempahan atau berurus niaga dengan syarikat atau negara lain.

“Ini akan merugikan kita di masa hadapan,” katanya.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohammad Khair Afham Mohd Senan, turut bersetuju baawa kelonggaran kepada sektor pembuatan di negeri penyumbang utama seperti Selangor akan memanfaatkan ekonomi secara mikro dan makro.

Selain itu, tegasnya, pembukaan ekonomi juga penting bagi memberi peluang kepada rakyat meneruskan aktiviti ekonomi mereka terutama kepada PMKS.

“Pembukaan lebih banyak sektor ekonomi akan menghasilkan kesan limpahan yang positif. Seperti sektor pembinaan, aktiviti pengubahsuaian rumah akan dibenarkan jika kita memasuki Fasa Dua PPN.

“Ini akan menjadi berita baik bagi pekerja, kontraktor dan pembekal bahan binaan. Pembukaan semula sektor ini akan merangsang lebih banyak perbelanjaan dan seterusnya merangsang kitaran perbelanjaan dalam negara,” katanya.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427