NIBONG TEBAL: Hanya bermodalkan RM1,500 mampu menghasilkan terowong penyahvirus automatik untuk membantu memberikan perlindungan kepada mereka yang terdedah kepada risiko jangkitan.
Kejayaan itu dicipta, sekumpulan penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) Universiti Sains Malaysia (USM) Transkrian, di sini yang bertungkus lumus menyiapkan projek mereka bagi membantu pasukan barisan hadapan di pusat kesihatan institusi itu.
Dekan PPKEE, Profesor Ir Dr Mohd Fadzil Ain, berkata penghasilan terowong itu tercetus selepas pihaknya menerima permintaan daripada pasukan barisan hadapan yang sangat memerlukan peralatan berkenaan.
Berikutan itu, katanya, dengan kepakaran bidang elektronik yang ada di PPKEE, terowong berkenaan direkabentuk lengkap dengan pengesan sonar bagi membolehkan ia mengesan objek yang melaluinya.
Walaupun produk ini masih prototaip, berikutan kekurangan sumber dan komponen, terowong ini dilengkapi dengan pengesan suhu badan tanpa sentuh berasaskan IoT dan dispenser sabun automatik, sinki pili air dan pengering tanpa sentuh.
“Peralatan ini sesuai digunakan oleh pasukan barisan hadapan membasmi virus atau bakteria selepas selesai menjalankan tugas mereka,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Jelasnya, terowong itu buat masa ini ditempatkan di pusat kesihatan USM namun ia juga sesuai diletakkan di lokasi lain yang berisiko termasuk hospital, klinik kesihatan, balai polis dan universiti yang dijangkakan akan menerima kemasukan pelajar sebaik tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ditamatkan.
“Produk ini juga sesuai untuk menyahvirus pesakit yang datang membuat rawatan di klinik dan hospital. Ia bukan sekadar pintar, malah dapat mengurangkan bebanan pasukan hadapan untuk melakukan proses menyahvirus secara manual yang sememangnya memenatkan khususnya untuk bilangan yang ramai.
“Kos untuk menghasilkan setiap terowong ini pula hanya sekitar RM1500 dan ia boleh dibuat dalam skala yang besar serta cepat memandangkan bahan digunakan boleh didapati di kedai perkakasan setempat,” katanya yang mengetuai projek penghasilan terowong berkenaan.
Mohd Fadzil berkata, kos penghasilan prototaip adalah sumbangan persendirian dari ketua projek sendiri serta dana daripada Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM USM).
Turut serta dalam pasukan pembuatan terowong berkenaan ialah Profesor Madya Dr Muhammad Nasiruddin Mahyuddin, Dr Wan Amir Fuad Wajdi Othman, Suardi Kaharuddin, Shahidan Shafie dan Mohd Hisham Mamat Yusuf.
-BH