GEORGE TOWN, 12 Okt — Usaha menjadikan Bukit Bendera dan beberapa kawasan sekelilingnya sebagai Rizab Biosfera UNESCO dijangka dapat diketahui dalam tempoh setahun lagi, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Chow yang juga Pengerusi Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang, berkata dosier atau kertas kerja bagi tujuan itu telah diserahkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli kepada Sekretariat UNESCO di Paris, pada 29 Sept lepas.
Permohonan akan mengambil masa lebih kurang setahun untuk proses penilaian UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya pewartaan itu akan memperkasa pendidikan untuk pembangunan dan pemuliharaan melalui penyelidikan saintifik yang mendalam, sekali gus menjadikan Pulau Pinang pusat kecemerlangan global dalam penyelidikan kelestarian, kepelbagaian biologi dan pemuliharaan yang dipacu oleh akademik tempatan.
“Melalui komponen pendidikan projek ini, kita akan meningkatkan kesedaran dalam pembangunan lestari di negara kita dan meningkatkan taraf hidup masyarakat tempatan,” katanya.
Chow berkata cadangan Rizab Biosfera UNESCO itu merangkumi lebih 20 peratus kawasan di seluruh bahagian pulau dengan Bukit Bendera sebagai pusat utama, diikuti Taman Negara Teluk Bahang, Taman Botani Pulau Pinang, enam hutan simpan serta dua empangan dengan keluasan keseluruhan 12,482 hektar.
Enam hutan simpan itu ialah Hutan Simpan Bukit Kerajaan, Hutan Simpan Teluk Bahang, Hutan Simpan Laksamana, Hutan Simpan Penara Bukit, Hutan Simpan Highlands dan Hutan Simpan Pantai Acheh, sementara empangan terlibat ialah Empangan Teluk Bahang dan Empangan Ayer Hitam.
Mengulas lanjut, beliau berkata Rizab Biosfera Bukit Bendera akan berfungsi sebagai pusat hijau utama untuk Pulau Pinang yang mana aktiviti ekonomi yang mampan diselarikan dengan usaha pemuliharaan alam semula jadi.- BERNAMA