PUTRAJAYA: Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuhkan kerjasama dengan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) terutama berkaitan penyelidikan dan inovasi.
Naib Canselor UPM, Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman, berkata simbolik kerjasama itu bersandarkan kepada kepakaran dan pengalaman penyelidikan oleh ahli akademik di Fakuti Ekologi Manusia (FEM) dalam membantu YPM mencapai matlamat penubuhannya sebagai yayasan yang unggul dalam memperkasa taraf pendidikan dan sosio ekonomi bangsa Melayu dan Bumiputera.
Katanya, tiga bentuk kerjasama sudah dikenal pasti oleh pihaknya iaitu berkaitan penyelidikan dan inovasi yang menyumbang kepada keberkesanan dan impak pelaksanaan program pembiayaan pendidikan oleh YPM, kerjasama dalam memperkasa potensi penerima bantuan skim dan program YPM seperti Skim Anak Angkat, Program Tuisyen dan Skim Pendidikan Tertiari serta kerjasama pemindahan ilmu berkaitan kenegaraan, perancangan strategik, penjenamaan dan visibiliti kepada pegawai dan kakitangan YPM.
“Kerjasama ini selari dengan peranan universiti sebagai Menara Ilmu yang dapat memanfaatkan kewujudannya kepada pihak berkepentingan di luar.
“Kedudukan UPM sebagai universiti penyelidikan terkemuka di negara sewajarnya dapat merancakkan lagi proses pemindahan ilmu dan kepakaran untuk pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jalinan kerjasama itu dimeterai dengan penyerahan surat pertukaran niat (letter of intent) yang diadakan hari ini di UPM.
Majlis ini turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Mohd Amran Mohd Ariffin.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif YPM, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin, berkata simbolik penyerahan surat pertukaran niat ini akan membuka banyak lagi kerjasama YPM dengan UPM pada masa akan datang.
“Sebelum ini, penyelidik UPM sudah dipilih untuk membuat kajian impak bagi menambah baik kualiti termasuk tahap kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan program YPM seperti Skim Anak Angkat, Program Tuisyen dan Skim Pendidikan Tertiari.
“Kajian seumpama ini dapat membantu YPM membuat langkah intervansi bagi meningkatkan lagi keupayaannya sebagai sebuah yayasan yang dinamik,” katanya. -BH