Untung bersih AEON Credit melonjak

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih AEON Credit Service (M) Bhd melonjak kepada RM163.09 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2022 berakhir 31 Mei 2021 berbanding RM26.28 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu.

Hasil meningkat 5.4 peratus kepada RM410.97 juta daripada RM389.88 juta sebelum ini, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Menurut AEON Credit, jumlah transaksi dan pembiayaan pada suku semasa meningkat 80.9 peratus kepada RM1.41 bilion daripada RM778.57 juta yang direkodkan semasa suku pertama 2021, memandangkan prestasinya pada suku berkenaan terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setakat 31 Mei 2021, penghutang pembiayaan kasarnya susut RM460.07 juta kepada RM10.06 bilion, berbanding dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Penghutang pembiayaan bersihnya selepas elaun bagi kerugian rosot nilai adalah RM9.34 bilion menjelang suku pertama 2022 daripada RM9.76 bilion semasa suku pertama 2021, manakala nisbah pinjaman tidak berbayarnya berada pada 1.75 peratus berbanding 1.42 peratus sebelum ini.

Pendapatan lain bagi suku semasa dicatat pada RM49.19 juta, merangkumi pemulihan daripada hutang lapuk, komisen insurans dan faedah/pendapatan keuntungan daripada deposit dengan institusi kewangan berlesen.

Syarikat itu ketika bercakap mengenai prospek berkata, prestasi jualan dan perniagaannya berjaya pulih walaupun menghadapi cabaran pada suku pertama.

“Syarikat akan terus memantau dan menilai dengan teliti risiko kredit yang wujud dalam portfolio pembiayaannya, dengan perhatian proaktif terhadap peningkatan kualiti aset, pengurusan kos yang berhemat termasuk peningkatan kecekapan kewangan serta operasi dengan memanfaatkan asas perniagaan yang positif.

“Melainkan sebarang keadaan di luar jangkaan, syarikat menjangkakan dapat mengekalkan prestasi kewangan bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2022,” tambahnya.-BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427