KANGAR: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dinobat antara 200 universiti berusia di bawah 50 tahun terbaik dunia dikeluarkan Times Highers Education (THE) semalam.Naib Canselor UniMAP, Profesor Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad berkata, pencapaian diterima begitu membanggakan bagi universiti yang berusia 18 tahun dengan jumlah pelajar sekitar 15,000 orang.
Menurutnya, penilaian tersebut menggunakan data yang sama bagi The World University Rankings yang diumumkan tahun lalu, namun dengan pemberat yang berbeza bagi menyesuaikan dengan kategori universiti muda.
“Indikator penilaian kekal sama iaitu bagi aspek pengajaran sebanyak 30 peratus, penyelidikan (30 peratus), sitasi (30 peratus), pengantarabangsaan (7.5 peratus) dan penjanaan industri (2.5 peratus).
“Sistem penarafan ini bukanlah faktor terpenting yang dijadikan kayu pengukur prestasi dan kedudukan UniMAP berbanding universiti awam lainnya, namun ia secara tidak langsung mampu membantu universiti untuk memperbaiki kekurangan yang ada berdasarkan petunjuk yang dinilai oleh THE,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurutnya, pencapaian yang diraih itu bukanlah tiket untuk UniMAP terus berpuas hati dengan pencapaian sedia ada sebaliknya pelbagai inisiatif baharu perlu dirangka bagi meningkatkan lagi reputasi UniMAP dalam kalangan industri strategik dan rakan kerjasama antarabangsa.
“UniMAP tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian ini. Data ini akan dinilai dari masa ke masa.
“Justeru, adalah penting untuk UniMAP terus memastikan peningkatan dalam kesemua aspek penilaian memandangkan setiap penilaian mewakili teras utama sesebuah universiti,” katanya.
Selain UniMAP, UKM dan UPM turut tersenarai ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang berada pada kelompok 101-150; Universiti Utara Malaysia (UUM) pada kedudukan 201-250 dan Universiti Tenaga Nasional dalam kelompok 251-300.
Selain UniMAP, dua universiti tempatan iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut direkodkan dalam ranking kelompok 151 hingga 200 universiti terbaik dunia.
Tiga lagi universiti iaitu Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga tersenarai dan berada pada kelompok 351 hingga 400 universiti terbaik.
-SH