‘UMNO Perak pertahan Ahmad Zahid sebagai Presiden’ – Saarani

Estimate Reading Time: 2 minutes

IPOH: UMNO Perak sebulat suara mempertahankan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk kekal sebagai Presiden UMNO ketika banyak pihak melihat pemimpin itu perlu bertanggungjawab atas kekalahan banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata keputusan itu berdasarkan mesyuarat perhubungan negeri semalam yang didasari beberapa hujah antaranya tiada ahli daripada parti lain dilihat tegas mendesak presiden parti masing-masing untuk meletak jawatan di sebalik kekalahan sebelum ini.

“Hujahnya berpuluh tahun DAP sebelum ini tidak memenangi pilihan raya, tetapi tiada pun orang DAP desak Lim Kit Siang letak jawatan. Berpuluh tahun lamanya PAS tak menang pilihan raya, malah kalah berkali-kali, namun tiada pula orang menuntut supaya Presiden PAS letak jawatan.

“Semasa BN menang PRN Melaka dan Johor sebelum ini, pada masa itu PAS, PKR, DAP kalah. Namun, ketika itu tiada siapa pun suruh Haji Hadi (Tan Sri Abdul Hadi Awang), Tan Sri Muhyiddin (Presiden BERSATU) letak jawatan.

“Selain itu, berdasarkan semakan baru-baru ini, terdapat 18 kerusi ditandingi calon Perikatan Nasional (PN) hilang deposit, tetapi tiada calon UMNO hilang deposit. Jadi, kenapa tiada orang menuntut Pengerusi PN letak jawatan?,” katanya kepada pemberita pada Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 siri 7 di Stadium Indera Mulia, hari ini.

Saarani yang juga Menteri Besar berkata, keputusan itu juga didasari tiada satu jaminan bahawa jika Ahmad Zahid meletak jawatan maka ahli PAS akan menyokong UMNO dan begitu juga tiada jaminan parti BERSATU akan dibubarkan untuk membolehkan ahli parti berkenaan masuk UMNO.

“Jadi, kita tak akan ‘menari ikut gendang mereka’. Nasihat saya kepada orang-orang UMNO, tak perlu menari ikut gendang orang luar UMNO memandangkan jika kita lihat yang mendesak sebegini antaranya adalah orang yang bukan lagi dalam UMNO seperti Tan Sri Annuar Musa dan Khairy Jamaluddin.

“Jadi orang-orang yang sudah keluar UMNO, tumpukan sajalah kepada parti baharu yang disertai dan jangan kacau UMNO. Saya pun pelik bila sebab mereka yang sudah keluar daripada UMNO ini sibuk komen pasal UMNO. Adakah itu dikatakan benci tapi rindu?” katanya.

Pada PRN lalu, UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) bertanding di 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun hanya menang 19 daripadanya.

Saarani turut memberi jaminan Kerajaan Perpaduan Perak kekal stabil dan kukuh dengan tidak akan berlaku sebarang situasi lompat parti di negeri ini.

“Saya beri jaminan kerana semalam saya sudah jumpa semua sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan esok petang pula saya akan jumpa semua ADUN Kerajaan Perpaduan Perak,” katanya.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427