UMNO bincang hala tuju dalam kerajaan PN malam ini

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Tiada pertemuan fizikal membabitkan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang akan bermesyuarat malam ini, bagi menentukan hala tuju parti itu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Sumali Reduan, berkata mesyuarat MKT dijangka bermula sekitar jam 8.30 malam itu akan berlangsung sepenuhnya secara maya.

“Ya (berlangsung) secara maya dari rumah masing-masing,” katanya ringkas ketika ditanya sama ada mesyuarat MKT malam ini tidak diadakan di ibu pejabat parti itu di Menara Dato’ Onn.

Dijangka, mesyuarat malam ini akan dihadiri hampir semua MKT termasuk Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri serta ahli MKT lain yang berada di luar kawasan serta luar negara.

Sementara itu, pemimpin tertinggi UMNO yang dihubungi malam tadi pula menjelaskan agenda utama mesyuarat adalah berkait keputusan sama ada UMNO akan menarik sokongan kepada kerajaan PN ketika ini, isu pengurusan dan urus tadbir negara ketika pandemik serta pembukaan sidang parlimen dijadual 26 Julai ini.

Katanya, hasil pertemuan khas pucuk pimpinan tertinggi UMNO dengan ahli MKT sejak minggu lalu serta Ahli-Ahli Parlimen UMNO di Jalan Bellamy dan Wisma Perwira di Jalan Semarak, disini akan diperhalusi malam ini.

“Semua akan diperhalusi sebelum ketetapan dibuat dan ia mesti dipersetujui secara majoriti,” katanya sambil menjelaskan setiap ahli MKT akan diberi ruang menyampaikan pandangan masing-masing ketika mesyuarat berlangsung.

Difahamkan, beberapa siri pertemuan kecil membabitkan Ahli MKT, Ahli Parlimen UMNO serta Ketua-Ketua UMNO Bahagian juga diadakan sejak semalam termasuk di Putrajaya, antara lain bagi membincangkan pendirian UMNO terhadap kerajaan PN.

Pertemuan itu diketuai seorang menteri UMNO, dilihat berupaya mempengaruhi keputusan MKT UMNO malam ini.

Dalam siri pertemuan membabitkan Ahli Parlimen UMNO sebelum ini, sebahagian mereka berpendapat ini bukan masanya untuk UMNO menarik sokongan kepada PN, dengan pertimbangan utamanya adalah pengurusan COVID-19 dan urus tadbir negara.

Pertemuan di Wisma Perwira di Jalan Semarak yang dihadiri majoriti Ahli Parlimen UMNO juga tidak menghasilkan sebarang keputusan jelas mengenai sama ada mereka perlu menarik sokongan kepada PN ketika ini.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427