Umar ikut jejak Azeem ke AS

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU: Pemenang pingat emas 400 meter Sukan SEA Kemboja 2023, Umar Osman bakal mengikut jejak pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi berkelana ke Amerika Syarikat (AS) bagi menyambung pengajian dan mendapat latihan olahraga yang lebih komprehensif.

Pelajar jurusan Diploma Reka Bentuk dan Industri Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor berkata segala urusan untuk ke AS sedang dipersiapkan dan dia sudah memohon untuk memasuki Universiti Auburn di Alabama, tempat Azeem menuntut ketika ini.

“Memang ada perancangan saya untuk ke AS dan sekarang dalam proses menghantar dokumen berhubung pencapaian akademik terutama Sijil Pelajaran Malaysia dan laporan pencapaian di Politeknik Ibrahim Sultan.

“Jadi saya perlu sediakan segala dokumentasi untuk dihantar ke universiti di AS dan jika segala urusan berjalan lancar, saya dijangka akan ke sana pada awal Januari tahun depan malah sudah memilih Universiti Auburn.

“Saya perlu mencabar diri sendiri untuk lebih maju dan mempertingkatkan lagi kualiti larian kerana saingan utama adalah saya sendiri dan dari situ baru saya akan lebih mantap,” katanya ketika ditemui pada majlis ramah mesra politeknik itu bersama media Johor semalam.

Tegasnya, keputusan untuk merantau ke AS adalah bagi meningkatkan prestasi dan meraih sebanyak mungkin pendedahah kejohanan olahraga di sana malah dapat menjalani latihan yang lebih efektif di bawah jurulatih universiti berkenaan.

Pelari berusia 20 tahun kelahiran Johor Bahru itu melakar sensasi pada Sukan SEA selepas memecah rekod kebangsaan 46.41 saat milik Zaiful Zainal Abidin dengan masa 46.34s dalam laluan memenangi pingat emas.

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427