KUALA LUMPUR- Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah diberi penghormatan sebagai penerima Anugerah Ikon Kraf 2019 oleh Majlis Kraf Dunia (WCC) atas sumbangan baginda dalam mengekalkan warisan kraf tradisional.
Selain Tunku Azizah, Institut Kraf Negara (IKN) dan Kraf Komuniti Ku (KKK) masing-masing dipilih sebagai Institut/Akademi Kraf Terbaik dan Kampung Kraf Terbaik dalam senarai pemenang anugerah yang dimuatkan dalam laman sesawang Kampung Kraf India https://www.craftvillage.org.in/home.html
Anugerah itu akan disampaikan pada majlis Anugerah Kraf Antarabangsa (ICA) ketiga di GMR Aerocity, New Delhi pada 7 Dis, semasa Minggu Kraf India dari 4 hingga 8 Dis, menurut laman sesawang WCC. Anugerah itu mempromosi, memberi inspirasi dan menggalakkan masyarakat dalam mengekalkan warisan kraf.
Anugerah berkenaan adalah penghormatan yang amat bertepatan bagi Tunku Azizah yang begitu aktif dalam mempromosi kraf tradisional, bermula sejak 2006. Baginda sinonim dengan Tenun Pahang, sehingga memilih fabrik eksklusif yang menjadi identiti negeri Tok Gajah itu sebagai persalinan Diraja pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada 30 Julai lepas.
Pemilihan tenun Pahang Diraja pada istiadat pertabalan itu, titah Tunku Azizah, adalah sebagai tanda penghargaan baginda selaku Penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Tenun Pahang Diraja Negeri Pahang.
Usaha baginda mengangkat Tenun Pahang membawa kepada pemasyhuran Tenun Pahang Diraja pada 8 Mei 2006 dengan perkembangannya dipantau rapi melalui Badan Penasihat Pembangunan Tenun Pahang Diraja di bawah Penaungnya ketika itu, Sultan Ahmad Shah.
Tenun Pahang dipercayai berasal lebih 300 tahun lepas dan mereka yang mengenali Tunku Azizah berkata baginda merupakan penggerak bagi penubuhan Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam di Pulau Keladi Pekan, Pahang sekitar tahun 2010 bagi memastikan seni itu tidak hilang ditelan zaman.
Ini kerana Tunku Azizah melihat penghasilan tenun Pahang memerlukan masa serta ketelitian, menyebabkan hanya terdapat 15 penenun di Pekan, pada awal pembabitan baginda dengan tenun Pahang sekitar 2005.
“Saya memperjuangkan hasil tangan tradisional dan tidak menyokong tenunan mesin, songket mesin dan batik mesin.
“Kita kena mempertahan hasil kerja tangan negara kita yang begitu halus, cantik dan mengambil masa, termasuk tikar, tekat, kerikam, pasu, rotan dan baju kurung,” menurut ciapan baginda menerusi akaun Twitter pada 28 Okt.
Usaha Tunku Azizah kini mula membuahkan hasil kerana berjaya melahirkan 200 penenun di sekitar Pekan, sebelum baginda melangkah ke peringkat seterusnya dengan ‘menurunkan ilmu tenun’ kepada golongan lelaki, yang amat jarang berlaku sebelumnya.
Tunku Azizah berkenan supaya penghasilan tenun Pahang Diraja dihasilkan oleh banduan lelaki di Penjara Penor dan Penjara Bentong, malah seringkali mencemar duli ke situ bagi melihat dan memantau perkembangan seni fabrik itu.
Minat baginda dengan kraf lebih menonjol di peringkat nasional selepas menjadi Raja Permaisuri Agong.
Baru-baru ini, tular video Tunku Azizah dalam media sosial sedang mempromosikan kraf Malaysia kepada perwakilan ke Simposium Tekstil Tradisional ASEAN di Yogyakarta, Indonesia.
Ketika merasmikan Hari Kraf Kebangsaan 2019 baru-baru ini, baginda bertitah pelbagai usaha boleh dilaksanakan bagi memastikan seni kraftangan dan warisan negara lebih gemilang, yang jelas membayangkan jiwa seni baginda.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), Ibrahim Ismail berkata penganugerahan kepada Tunku Azizah oleh WCC menunjukkan industri kraf negara mempunyai status yang tinggi di mata dunia.
Pengiktirafan terhadap baginda juga memberi suntikan semangat dan dorongan kepada industri kraf negara untuk terus berkembang.
“Kita sangat bangga kerana ‘First Lady’ negara dinobatkan sebagai ikon kraf yang mana ia merupakan anugerah berprestij dari luar negara. Ini merupakan satu petanda yang baik apabila industri kraf negara dipayungi pihak tertinggi dalam negara yang sangat menghargai dan mencintai seni kraf,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata dua lagi anugerah diraih oleh IKN dan KKK merupakan pengiktirafan bertaraf dunia melalui inisiatif Kraftangan Malaysia membangunkan komuniti setempat yang berkait rapat dengan produk unik, sejarah, budaya dan identiti sesuatu tempat.
Ibrahim berkata pengiktirafan antarabangsa julung kali itu juga menunjukkan hala tuju Kraftangan Malaysia yang turut melibatkan golongan berpendapatan rendah B40 adalah selari dengan hasrat kerajaan dalam konteks kemakmuran bersama.
“Kejayaan ini juga jelas menunjukkan industri kraf di negara berdaya maju yang bukan hanya dilihat sebagai satu industri yang bersifat peribadi atau produk desa tetapi bersifat komoditi dan komersial,” katanya.- BERNAMA