PETALING JAYA: Angka kes harian Covid-19 di Malaysia semakin hari semakin dahsyat. Jumlah keseluruhan bermula sejak awal Mac pada tahun lalu telah pun mencecah melebihi 135,000 kes.
Jadi, apa yang harus kita lakukan sekarang?
Melihat angka melonjak dengan mendadak, masing-masing mula rasa panik. Pelbagai langkah pencegahan dan penguatkuasaan yang dilakukan kerajaan sebelum ini, nampaknya tidak mendatangkan sebarang kesan.
Setelah 10 bulan berlalu, situasi kini menjadi semakin bahaya dan seperti sudah tidak terkawal. Siapakah yang harus dipersalahkan?
Patutkah salahkan kerajaan kerana tidak tegas ataupun rakyat yang bersikap degil dan tidak bertanggungjawab?
Hari ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan tindakan kawal Covid-19. Ramai yang meramalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 akan dilaksanakan.
Mungkin itulah langkah terbaik yang terpaksa kerajaan lakukan. PKP sememangnya menyekat kita – menyekat kegiatan harian dan menyekat pendapatan.
Seboleh-bolehnya kita sebenarnya tidak mahu kembali melalui hidup seperti itu. Amat menyeksakan!
Namun, sudah tidak ada pilihan lagi kecuali melaksanakan PKP. Kerajaan kena bertindak segera. Demi keselamatan dan kesihatan semua, itulah pilihan terakhir yang kita ada.
Bandingkan dengan negara Jepun. Pada Khamis lalu, kes jangkitan di Tokyo dan tiga daerah sekitarnya walaupun hanya mencatat lebih 2,000 kes, darurat telah diisytiharkan selama sebulan.
Kita perlu belajar pengalaman daripada PKP 1.0 tahun lalu. Selepas berpuas hati dengan jumlah kes yang semakin berkurangan, kita terlalu cepat alpa dan cuai.
Masih belum terlambat untuk kita sama-sama memerangi Covid-19. Kita perlu bangkit dan yakin mampu menang!
-SH