KUALA LUMPUR: Polis belum dapat mengenal pasti identiti mangsa kedua yang maut dalam nahas treler terbabas ke dalam gaung di Kilometer (KM) 42.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak hala ke Bentong, dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata kemalangan dilaporkan berlaku jam 8.50 malam itu mengorbankan pemandu treler, Norazuat Mokhtar, 39, dan kelindannya.
“Selepas usaha mencari dan mengeluarkan mangsa kedua dijalankan sejak malam tadi, mayat mangsa akhirnya berjaya ditemui dan dibawa naik dari lokasi kejadian kira-kira jam 9.30 pagi tadi.
“Bagaimanapun, buat masa ini identiti kelindan treler itu belum dapat dipastikan, justeru kita akan cuba menggunakan cap jarinya untuk memastikan identiti.