PERMINTAAN global terhadap teknologi digital memaksa Malaysia untuk membina daya tahan dan daya saing digital bagi meningkatkan kedudukan negara di peringkat antarabangsa.
Pencapaian Malaysia dalam aspek daya saing digital, yang berperanan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), dinilai melalui beberapa indeks antarabangsa. Antaranya ialah Online Service Index (OSI) dan Open Government Development Index (OGDI) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta GovTech Maturity Index (GTMI) oleh Bank Dunia.
Pada 2023, Malaysia terus mengekalkan kedudukannya sebagai negara dengan kategori Very High dalam ketiga-tiga penilaian ini.
Pencapaian ini jelas membuktikan, pendigitalan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara sekali gus memperkukuhkan daya saing Malaysia di arena global. Untuk itu, Jabatan Digital Negara (JDN) dilihat memainkan peranan penting dalam memacu perubahan landskap pendigitalan di sektor awam Malaysia.
Merupakan salah sebuah jabatan di bawah Kementerian Digital, JDN diamanahkan untuk meneraju transformasi digital selaras dengan hasrat kementerian ke arah pembangunan Negara Digital.
Dari segi sejarah penubuhan, JDN asalnya dikenali sebagai Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) iaitu agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Sejajar dengan rombakan Kabinet pada 12 Disember 2023, JDN disusun semula di bawah Kementerian Digital susulan daripada pemecahan Kementerian Komunikasi dan Digital kepada dua kementerian yang berbeza.
Perubahan ini bertujuan memfokuskan kepada transformasi digital sektor awam, memperkukuh inovasi digital dan mempercepatkan pembangunan pendigitalan di Malaysia, di mana JDN kini berperanan penting dalam menyumbang ke arah pembentukan masa depan digital negara.
Sebagai peneraju kepada pembangunan kerajaan digital, JDN menetapkan visi jabatan sebagai Kerajaan Digital Mampan Pemangkin Negara Digital.
Ia bertujuan membina ekosistem kerajaan digital yang inovatif, inklusif dan mesra rakyat, sekali gus menyokong pembangunan Malaysia sebagai negara digital yang maju.
Visi ini juga menekankan keterangkuman digital serta keutuhan keselamatan siber dalam memperkasakan perkhidmatan kerajaan ke arah masa depan digital yang lebih dinamik dan berdaya saing.
Melalui visi sebegini, JDN menetapkan fungsi utama agensi iaitu sebagai peneraju kepada pembangunan kerajaan digital dalam sektor awam.
JDN berfungsi menyelaras dan membangunkan tatakelola perolehan dan pengurusan projek pendigitalan kerajaan, menerajui transformasi perkhidmatan digital berdasarkan pendekatan Whole of Government (WoG) mengikut sektor perkhidmatan.
Selain itu, JDN juga menerajui pembangunan dan pelaksanaan perkhidmatan digital sepunya yang merentas agensi sektor awam serta merancang dan menyelaras maklumat strategik dan analitik.
JDN juga memimpin pelaksanaan perkhidmatan infrastruktur digital yang merentas agensi kerajaan dan menerajui perancangan serta pembangunan kompetensi bagi pegawai Perkhidmatan Sistem Maklumat.
Seterusnya, JDN juga terbabit dalam memberikan khidmat runding dan nasihat teknikal berkaitan penggunaan teknologi digital dalam transformasi perkhidmatan awam dan melaksanakan pembudayaan teknologi dalam perkhidmatan digital.
Bagi memantapkan peranan JDN sebagai peneraju kerajaan digital, JDN membangunkan pelbagai inisiatif seperti Gerbang Perkhidmatan Digital Bersepadu, Anjakan Strategi Digital First, perkhidmatan guna sama kerajaan seperti talian MyGovNet, MyGovCloud@PDSA (pusat data dan pengkomputeran awan), MyGovUC (unified communication) dan MyGPKI (keselamatan maklumat) dan sebagainya.
Perkasakan infrastruktur
Pembangunan inisiatif sebegini adalah selari dengan usaha JDN memperkasakan infrastruktur digital dan ICT serta memudahkan akses rakyat kepada perkhidmatan kerajaan secara dalam talian. Selanjutnya, perkhidmatan JDN boleh dirujuk di pautan https://www.jdn.gov.my.
Daripada segi pencapaian semasa JDN, dalam tempoh Januari hingga Jun 2024, sebanyak 279 sesi khidmat runding dan nasihat teknikal diberikan kepada agensi sektor awam, dengan penjimatan kos RM3.69 juta.
Khidmat runding dan nasihat teknikal ini meliputi pelbagai trek, termasuk teknikal, pembangunan sistem serta strategi.
Inisiatif ini bukan sahaja membantu memperkukuh keupayaan digital agensi kerajaan, tetapi juga menjana penjimatan yang signifikan, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi sektor awam dalam era digital dan memartabatkan bakat dalaman di sektor awam.
Selain daripada khidmat runding, pelaksanaan perkhidmatan gunasama kerajaan seperti penggunaan talian MyGovNet, MyGovCloud@PDSA, MyGovUC dan MyGPKI yang disediakan oleh JDN telah menghasilkan penjimatan kumulatif yang amat signifikan.
Perkhidmatan guna sama merupakan perkhidmatan yang diuruskan secara berpusat di JDN. Dari 2018 hingga Jun 2024, perkhidmatan ini berjaya menjimatkan sebanyak RM3.2 bilion.
Inisiatif ini memperkukuhkan lagi keberkesanan penggunaan sumber digital di sektor awam, memastikan integrasi yang lebih baik antara agensi kerajaan sambil mengurangkan kos operasi.
Penjimatan ini juga mencerminkan kejayaan strategi digital JDN dalam memperkasakan pentadbiran awam melalui pendigitalan dan penggunaan sumber secara bersepadu dan berpusat di JDN.
Pencapaian JDN juga terserlah melalui penyediaan platform bersepadu yang merangkumi pengurusan data, aplikasi generik dan gerbang perkhidmatan digital kerajaan.
Platform ini mengintegrasikan fungsi penting kerajaan, memudahkan perkongsian data dan aplikasi di antara agensi, serta menyediakan akses yang lebih mudah kepada perkhidmatan digital bagi rakyat.
Dengan pengurusan data lebih cekap, aplikasi generik yang boleh digunakan merentas sektor, dan gerbang digital yang memusatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan, JDN memperkukuhkan ekosistem digital kerajaan, meningkatkan keberkesanan operasi dan penyampaian perkhidmatan.
JDN menyasarkan untuk mencipta ekosistem digital yang inklusif memodenkan perkhidmatan digital kerajaan, serta memastikan tiada kompromi dalam aspek keselamatan siber yang kukuh bagi masa depan digital Malaysia.
Transformasi ini diharap dapat menambah baik perkhidmatan digital yang ditawarkan kepada rakyat serta meningkatkan tahap keyakinan rakyat berurusan dalam talian, seiring dengan aspirasi digital negara.
Kesimpulannya, dengan penubuhan JDN dapat memperkukuh usaha pendigitalan di peringkat sektor awam melalui penyelarasan dan pelaksanaan strategi yang menyeluruh.
Jabatan ini memainkan peranan untuk memimpin transformasi perkhidmatan digital dengan pendekatan Whole of Government, memastikan kolaborasi antara agensi serta pengembangan perkhidmatan yang efisien dan inovatif dalam menyokong usaha berterusan kerajaan melaksanakan agenda reformasi perkhidmatan awam.
Dengan memberi tumpuan kepada pembudayaan teknologi, khidmat runding, perkhidmatan gunasama dan pembangunan kompetensi, JDN berperanan penting dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan awam yang bersepadu, tangkas, cerdas dan selamat dalam usaha memastikan negara bersedia menghadapi cabaran digital masa depan.
Ini seterusnya dapat mempercepat pencapaian visi negara yang lebih berdaya saing dan inklusif dalam era digital sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.
-BeritaHarian