Tragedi UiTM Dungun: Sebutan semula kes pemandu wanita hadapi tuduhan cubaan bunuh ditetap 18 Disember

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 18 Disember depan untuk sebutan semula kes pemandu wanita yang berdepan tuduhan cubaan bunuh sehingga mendatangkan kecederaan kepada seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, bulan lalu.

Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim yang memaklumkan bahawa laporan penuh psikiatri tertuduh, Norizan Ismail, 49, belum diterima kerana masih menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor Bahru.

Terdahulu, suri rumah dan ibu kepada tiga anak itu diperintahkan mahkamah menjalani pemeriksaan mental berikutan pertuduhan pertama terhadapnya mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan pada15 Oktober lalu.

Norizan didakwa melakukan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, pada 7.35 malam, 9 Oktober lalu di Jalan Pantai, berhadapan UiTM Dungun.

Dia sebelum ini didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian tiga penuntut UiTM Dungun.

Tiga mangsa itu ialah Muhammad Akmal Md Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20 dan Khairil Anuar Jamaluddin, 20.

Pada 15 Oktober lalu, Majistret Nur Amirah Fatihah Osman memutuskan Norizan dihantar ke Hospital Permai, Johor Bahru untuk pemeriksaan mental selama sebulan.

Tertuduh diwakili peguam, Mohd Shahir Mat Jusoh.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427