KUALA LUMPUR: Aliran trafik keluar dari Lembah Klang mengalami peningkatan sejak petang semalam terutama bagi laluan arah ke utara serta pantai timur dan kesesakan dijangka berlaku sehingga malam ini.
Ini berikutan pertambahan jumlah kenderaan susulan warga kota mula bercuti untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Aidiladha.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam laman Twitternya, @LLMinfotrafik melaporkan kesesakan dilaporkan berlaku dari arah Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke Plaza Tol Gombak arah timur sejak petang semalam.
Kesesakan berlarutan sehingga ke tengah malam tadi dan sehingga jam 5.30 pagi tadi, aliran trafik terus dilaporkan perlahan dari arah Plaza Tol Gombak ke arah Genting Sempah seterusnya dari arah Bukit Tinggi ke Bentong.
Pengendali Lebuhraya Pantai Timur (LPT), ANIH Berhad menerusi laman Twitter @LPT, melaporkan setakat jam 9 pagi tadi, aliran trafik sesak lebih 17 kilometer (KM) dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah.
Trafik turut dilaporkan perlahan lebih 1.5 KM dari Genting Sempah ke Bukit Tinggi dan trafik turut perlahan lebih 13 KM dari dari KM46 hingga ke KM60 hala Bukit Tinggi ke Bentong.
Aliran trafik ke arah utara turut dilaporkan perlahan, sejak petang semalam susulan pertambahan jumlah kenderaan dan keadaan itu berlarutan sehingga awal pagi tadi.
Setakat jam 10.30 pagi tadi, laporan LLM menunjukkan trafik perlahan dari Slim River ke Sungkai, Sungkai ke Bidor, Bidor ke Gua Tempurung dan dari Jelapang ke Terowong Menora.