Tol Percuma Sempena Tahun Baru Cina – Menteri Kerja Raya

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 7 Februari 2024 (The Capital Post) – Kerajaan Malaysia akan memberikan tol percuma kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) pada 8 dan 9 Februari 2024 sempena sambutan Tahun Baru Cina. Keputusan ini diumumkan selepas Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini.

Tol percuma ini akan dilaksanakan di semua lebuh raya mulai jam 12.01 tengah malam pada 8 Februari 2024 hingga jam 11.59 malam pada 9 Februari 2024. Implikasi kewangan yang diperlukan untuk inisiatif ini dianggarkan mencapai RM42.99 juta.

Namun demikian, pengecualian tol ini hanya diberikan kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) di semua plaza tol KECUALI di dua lokasi iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, menyatakan bahawa langkah ini adalah sebagai tanda prihatin dan kebersamaan dengan rakyat Malaysia yang menyambut Tahun Baru Cina. Beliau menyeru agar pengguna lebuh raya memanfaatkan peluang ini dengan baik serta mematuhi aspek keselamatan dan pemanduan yang selamat.

Dalam menjayakan langkah ini, pengguna lebuh raya dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan sewajarnya dan mematuhi jadual waktu perjalanan yang disyorkan. Pengguna juga digalakkan untuk memeriksa status trafik atau sebarang insiden melalui media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) atau aplikasi X @LLMtrafik secara berkala.

Bagi maklumat lanjut, pengguna lebuh raya boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan bantuan atau maklumat terkini mengenai keadaan trafik.

Ini adalah inisiatif yang diharapkan dapat menyumbang kepada kesejahteraan rakyat Malaysia semasa sambutan Tahun Baru Cina. Selamat Menyambut Tahun Baru Cina dari Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi. – The Capital Post

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427