TNB sasar pasang 1.5 juta meter pintar di Lembah Klang, Melaka

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 3 Mac — Sebanyak 1.5 juta pemegang akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Melaka dan Lembah Klang bakal dilengkapi dengan meter pintar menjelang hujung tahun ini.

Pengarah Projek Infrastruktur Pemeteran Maju (AMI) TNB Ir Mohamed Ghous Ahmad berkata setakat ini pihaknya telah memasang kira-kira 1.06 juta meter pintar tersebut di kedua-dua kawasan berkenaan.

Di Melaka, beliau berkata TNB telah memasang kira-kira 300,000 meter pintar manakala di kawasan Lembah Klang lebih kurang 706,000 rumah dilengkapi dengan alatan berkenaan.

“Antara kawasan di Selangor yang telah dilengkapi dengan meter pintar ini ialah Shah Alam, Cheras, Bangi dan Petaling Jaya manakala di Kuala Lumpur antara kawasannya di Bangsar, Bandar Sri Damansara, Segambut dan Ampang.

“Melalui Peraturan Berasaskan Insentif (IBR), TNB diberi peruntukan untuk memasang sebanyak 1.5 juta meter pintar menjelang penghujung tahun ini dan berdasarkan jumlah yang dipasang sekarang kita yakin bakinya akan dapat dipasang menjelang akhir tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Mohamed Ghous berkata pihaknya juga kini sedang dalam usaha untuk mendapatkan peruntukan tambahan daripada kerajaan pusat untuk melengkapkan kesemua tiga juta pengguna TNB di Lembah Klang dengan meter pintar.

“Selepas itu kita sasarkan kesemua 9.1 juta pengguna TNB di seluruh negara akan dilengkapi dengan meter pintar menjelang 2026,” katanya.

Sementara itu, Ketua Retail TNB Selangor Ismail Lathifi Teh berkata pemasangan meter pintar tersebut akan memberi pelbagai kelebihan kepada pelanggan kerana selain untuk melihat dan membayar bil TNB, pengguna juga boleh memantau jumlah penggunaan tenaga elektrik secara harian.

“Dengan meter pintar ini, data penggunaan akan dihantar setiap 30 minit sekali ke pusat penyimpanan data TNB, bagi pengguna yang mempunyai aplikasi MyTNB mereka boleh memantau dan mengawal penggunaan tenaga elektrik secara harian dan ia juga mendidik pengguna untuk menggunakan tenaga secara berhemah,” katanya.

Beliau berkata TNB berharap lebih ramai pengguna akan memuat turun aplikasi berkenaan dan memanfaatkannya, dan syarikat itu menyasarkan pada penghujung tahun ini 80 peratus pengguna TNB akan menggunakan aplikasi tersebut.

Beliau turut menasihati orang ramai untuk menghubungi talian TNB jika terdapat keraguan terhadap individu atau kontraktor yang hadir bagi menukar meter di kediaman mereka.

Bagi pengguna yang masih ragu-ragu dengan kontraktor kami, mereka boleh menghubungi talian khidmat pelanggan TNB 1-300-88-5454 dan TNB akan menghantar kakitangan untuk memantau keadaan, katanya.

— BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427