Tiga termasuk nenek dan cucu parah kemalangan

Estimate Reading Time: < 1 minute

Sungai Besar: Tiga termasuk seorang nenek dan cucu parah dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di simpang empat Jalan Parit 3 1/2 Barat, di sini, semalam.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, wanita berusia 51 tahun itu mengalami pendarahan di kepala dan cedera pada tapak kaki kanan.

Cucunya berusia 13 tahun pula patah peha kanan, sementara seorang lagi mangsa lelaki berusia 38 tahun retak tulang pinggul dan patah tangan kiri.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, siasatan awal mendapati mangsa lelaki menunggang motosikal dan dalam perjalanan dari rumahnya di Parit 1 1/2 Barat ke rumah bapa saudaranya di Parit 3 1/2 Barat untuk bekerja.

Beliau berkata, wanita dan cucunya pula menaiki motosikal dan dari rumah mereka di Tebuk Pulai menghala ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar.

“Tiba di lokasi kejadian, motosikal wanita terbabit dipercayai melintas dari sebelah kiri jalan dari arah jalan Parit 3 1/2 Barat.

“Pada masa sama, motosikal lelaki yang berada di laluan utama tidak sempat membrek dan melanggar motosikal wanita itu pada bahagian hadapan.

“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua motosikal terbabas ke bahu sebelah kiri jalan dari arah jalan Parit 3 1/2 Barat lalu terjunam ke dalam parit,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Agus Salim berkata, semua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun katanya, mangsa wanita dan lelaki itu kemudian dirujuk ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-METRO

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427