Tiga stesen MRT Laluan Kajang ditutup Sabtu, Ahad

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Tiga stesen MRT di Laluan Kajang, iaitu Stesen Sungai Buloh, Stesen Kampung Selamat dan Stesen Kwasa Damansara, akan ditutup pada Sabtu dan Ahad selama enam minggu, bermula bulan ini hingga September depan.

Rapid Rail Sdn Bhd dan MRT Corp dalam kenyataan bersama memaklumkan, penutupan itu dilakukan untuk kerja migrasi berkaitan pemindahan sebahagian laluan itu ke MRT Laluan Putrajaya.

Menurut kenyataan itu, penutupan tiga stesen berkenaan adalah pada 11 dan 12 Julai, 25 dan 26 Julai, 8 dan 9 Ogos, 22 dan 23 Ogos, 5 dan 6 September serta 19 dan 20 September depan.

“Dengan penutupan tiga stesen itu, tren MRT dari Kajang akan berakhir di Stesen MRT Kwasa Sentral.

“Sama seperti penutupan sebelum ini pada 2018 dan 2019, perkhidmatan gantian bas perantara percuma akan beroperasi di antara Stesen MRT Kwasa Sentral dan Stesen MRT Sungai Buloh, selain turut menyediakan perkhidmatan di Stesen MRT Kampung Selamat,” jelas kenyataan itu, hari ini.

Rapid Rail Sdn Bhd dan MRT Corp berkata, penutupan Stesen MRT Sungai Buloh pada tarikh berkenaan, tidak menjejaskan operasi Stesen KTM Sungai Buloh dan kemudahan tempat letak kereta bersebelahan stesen terbabit.

Mengulas lanjut, kedua-dua syarikat itu memaklumkan bas perantara yang disediakan tidak akan berhenti di Stesen MRT Kwasa Damansara kerana tiada aktiviti komersial dan kawasan perumahan berdekatan dengan stesen berkenaan, dan tempat letak kereta di Stesen MRT Kwasa Damansara juga akan ditutup.

Sehubungan itu, pengguna yang biasa meletakkan kereta di situ, dinasihatkan menggunakan kemudahan tempat letak kereta di Stesen MRT Kwasa Sentral atau di Stesen MRT Sungai Buloh.

“Perkhidmatan bas perantara sedia ada dari Stesen MRT Sungai Buloh dan Stesen MRT Kampung Selamat akan beroperasi seperti biasa.

“Rapid Rail and MRT Corp ingin meminta maaf atas kesulitan yang dialami oleh pengguna tren dan berharap kerja yang dilakukan ini akan menambah baik serta mengembangkan jaringan pengangkutan awam berasaskan rel di Lembah Klang.

“Untuk maklumat lanjut mengenai penutupan stesen itu, pengguna boleh menghubungi RapiKL di talian 03-78852585 atau talian Hotline Projek MRT di 1800-82-6868,” katanya.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427