Tiga anggota polis cedera, kereta peronda dilanggar pikap

Estimate Reading Time: < 1 minute

KAPAR: Tiga anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara cedera selepas kereta peronda dinaiki mereka dilanggar pikap, di Jalan Jati Kanan, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh, berkata dalam kejadian pada jam 12.15 tengah hari, tiga anggota masing-masing berpangkat sarjan, koperal dan konstabel sedang menjalankan tugas pemantauan Ops COVID-19 di Sungai Kapar Indah, Meru dan Kapar.

“Hasil siasatan awal mendapati, kereta peronda dipandu anggota berpangkat sarjan dari arah Perepat menuju ke Jalan Kapar.

“Apabila tiba di simpang empat Jalan Jati Kanan dengan Jalan Perepat, pikap dari simpang arah kanan jalan tiba-tiba melanggar bahagian tepi pemandu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, sarjan dan konstabel cedera ringan manakala koperal dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, pemandu pikap iaitu lelaki berusia 59 tahun cedera di kepala dan kini dirawat di hospital swasta.

“Hasil pemeriksaan, pemandu pikap mungkin tidak perasan semasa mahu keluar dari simpang berkenaan.

“Lelaki berkenaan difahamkan akan tampil membuat laporan esok kerana masih dirawat,” katanya.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427