KUALA LUMPUR: Tiada komunikasi yang erat antara anak-anak mahupun remaja dengan ibu bapa menjadi punca kepada isu kehamilan dalam kalangan remaja termasuk hamil di luar nikah.
Presiden Majlis Kebajikan Kanak-kanak Malaysia (MKKM), Datuk Dr Raj Karim, berkata apabila tiada komunikasi antara anak-anak dan ibu bapa, anak-anak mereka tiada tempat untuk mengadu dan mendapat pengetahuan.
“Sekiranya keluarga berkenaan mengalami keretakan atau hubungan yang tidak baik, anak-anak mereka berasa tidak tenteram sekali gus akan mencari tempat lain untuk mereka mengadu dan mendapatkan ketenangan.
“Atas sebab itu, ibu bapa perlu menyediakan suasana yang harmoni dan serasi untuk anak-anak mereka supaya sekiranya mereka mempunyai masalah dapat berbincang dengan ahli keluarga mereka,” katanya kepada BH.
Menurut Raj, sekiranya remaja itu terbabit dengan salah guna dadah ia akan menyebabkan diri mereka tidak tenteram dan boleh menjurus kepada pemasalahan yang lain.
“Pengaruh rakan sebaya juga antara punca kepada isu berkenaan dan remaja berkenaan cenderung untuk mencuba perkara-perkara baharu serta rakan-rakan mereka cuba mempengaruhi untuk melakukan sesuatu yang mereka belum pernah lakukan.
“Bukan semua kehamilan luar nikah dilakukan secara paksa oleh pasangan, tetapi ia turut dilakukan oleh rakan sebaya mereka,” katanya.
Katanya, remaja berkenaan tidak mempunyai ilmu dan pengetahuan yang cukup dan mereka cenderung untuk melakukan hubungan seks untuk pertama kali dan merasai perbuatan berkenaan tanpa memikirkan mudarat yang akan dialami mereka.
“Pendidikan seksualiti yang betul dan cukup perlu diberikan kepada golongan berkenaan kerana mereka perlu melindungi diri mereka daripada terjebak dengan aktiviti seks dan apa jua salah laku membabitkan mereka.
“Modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) sudah lama dibuat dan ia perlu dilaksanakan segera mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
“Pendidikan seksualiti atau modul PEERS perlu dilaksanakan kepada semua kanak-kanak sekolah rendah dan pelajar di sekolah menengah serta universiti,” katanya.
Beliau menegaskan bahan-bahan pendidikan berkenaan boleh disediakan mengikut umur dan jantina serta dilaksanakan pada bila-bila masa saja.
“Apa yang penting modul berkenaan boleh diajar secara berkesan kerana melakukan perbincangan secara berkelompok membabitkan mereka yang profesional dalam isu berkenaan bagi menarik minat dan keyakinan golongan terbabit,” katanya.
-BeritaHarian