KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.1 peratus, membabitkan nilai RM2.65 bilion bagi tahun kewangan 2022.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata agihan itu akan memberi manfaat kepada lebih 8.7 juta pendeposit TH dengan jumlah keuntungan diagih adalah RM2.65 bilion.
“Agihan keuntungan ini adalah kompetitif mengambil kira antara lainnya kadar agihan bagi tahun 2022 adalah lebih tinggi daripada purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan, iaitu 2.34 peratus dan zakat telah dilunaskan bagi pihak pendeposit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman agihan keuntungan TH tahun 2022 di sini, hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amrin Awaluddin. – Berita Harian