Barisan Nasional (BN) Selangor memerlukan wajah dan imej lebih segar untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Tidak hairanlah tiga nama penting, termasuk Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul dianggap ‘senjata’ untuk menawan kembali negeri yang sudah tiga penggal dikuasai PKR.
Selain Tengku Zafrul yang baru dilantik sebagai Bendahari BN negeri, dua lagi ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin dan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.
Tengku Zafrul bukan asing mengambil kira peranannya dalam Kabinet. Beliau mula dikaitkan kerusi Parlimen Kuala Selangor, mengambil kira tindak tanduknya, terutama turun padang di kawasan kelahirannya.
Cuma soalnya, sejauh mana spekulasi Tengku Zafrul dijadikan taruhan sebagai Menteri Besar sekiranya Selangor dirampas BN masih menjadi tanda tanya.
Bagi Mohd Imran dan Shahril Hamdan yang masih dalam lingkungan 30-an, mereka jelas menjadi sandaran mengepalai generasi muda. Berbekalkan pengalaman dan kualiti masing-masing, pastinya mereka antara paling sesuai diketengahkan sebagai ‘senjata’ seperti disebut Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos.
Berbalik kepada Tengku Zafrul, kehadiran di Selangor mendapat restu Pengerusi BN negeri, Tan Sri Noh Omar. Namun, ada juga kelompok kurang senang, contohnya Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim memberi amaran pihaknya tidak mahu jentera parti dipergunakan untuk ‘mendukung’ pemimpin luar.
Sebagai orang lama di Kuala Selangor, Jahaya dikatakan mengidam untuk bertanding kerana sebelum ini sudah terlepas peluang apabila kerusi diberikan kepada calon luar.
Pada PRU-13, Parlimen Kuala Selangor dimenangi UMNO melalui Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, tetapi tewas kepada Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) pada PRU-14.
Mengimbau pembabitan Tengku Zafrul dalam politik seperti disahkan Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Bank itu sudah lama menjadi ahli UMNO, sebelum dilantik dalam Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Difahamkan, adik Tengku Zafrul, Tengku Zuhri Tengku Abdul Aziz, adalah Timbalan Ketua Bahagian Lembah Pantai yang dulunya Setiausaha Bahagian itu.
Aura, ketokohan individu jadi aset
Penganalisis politik, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis, mengakui kemasukan Tengku Zafrul membawa naratif segar dan baharu yang mahu dibawa BN Selangor.
Namun, soalnya apakah kemasukan Tengku Zafrul mampu mencabar kedudukan PKR?
Yang jelas gelanggang korporat dan politik berbeza, seni permainannya juga tidak sama, walaupun kedua-duanya memerlukan pasukan mantap dan kuat. Aura serta ketokohan individu sering menjadi aset dalam politik berbanding dunia korporat.
Cakap-cakap di media sosial, Tengku Zafrul popular dalam kalangan rakyat dan di media sosial sebagai seorang rendah diri dan berjiwa rakyat. Kualiti sebegitu, ditambah latar belakang teknokrat cukup sesuai diangkat sebagai poster boy di Selangor.
Sebelum ini, nama bekas Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jali, disebut-sebut, tetapi bekas pegawai khas Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak itu dilucutkan jawatannya Jun lalu, dikatakan tidak sehaluan BN negeri.
Bercakap mengenai potensi Tengku Zafrul untuk menang pada PRU-15, jika bertanding di kawasan penyokong tegar BN, mungkin ia miliknya. Namun, jika mahu mencalonkannya di Parlimen Kuala Selangor, peluang itu seimbang kerana Ahli Parlimen sekarang sudah menyatakan mahu mengosongkannya bagi memberi laluan muka baharu.
Berdasarkan perkembangan semasa, peluang AMANAH mengekalkan kemenangan sedikit goyang mengambil kira tujuh keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Dengan jumlah pengundi baharu di Kuala Selangor dan pembangunan pesat, ia mungkin mempengaruhi corak pengundian, lebih-lebih lagi Tengku Zafrul dikenali ramai atas kapasitinya sebagai Menteri Kewangan.
Jika benar Tengku Zafrul sandaran BN untuk Menteri Besar, mungkin satu daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu disediakan untuknya. Jika dilihat, DUN Jeram lebih sesuai berbanding Ijok dan Bukit Melawati.
Jika menang, peluang untuk jadi Menteri Besar lebih terbuka dan beliau akan menjadi Menteri Besar kedua untuk Selangor dalam kalangan tokoh korporat selepas Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim yang juga ADUN di bawah Parlimen Kuala Selangor iaitu DUN Ijok. Apa pun, kesimpulannya potensi untuk Tengku Zafrul itu ada jika mengambil kira asetnya dengan pengalaman korporat 22 tahun dan jaringannya yang baik.
Cuma sekarang masa meyakinkan UMNO dan BN di Kuala Selangor, serta pengundi yang mana jika ini boleh digembleng dan dicanai dengan baik mungkin peluang besar akan lebih terhidang.
Penulis adalah Penolong Pengarang Berita BH
-BH