KUALA LUMPUR, 29 Nov 2022 (The Capital Post): Pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tata kelola pentadbiran kerajaan baharu dalam kelulusan perolehan tanpa tender perlu diberi perhatian semua pihak kerana ia bukan saja menghentikan salah laku rasuah, tetapi juga amalan kronisme.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata setiap arahan dan peraturan membabitkan Perbendaharaan negara sudah ditetapkan untuk perhatian serta dipatuhi semua.
“Dalam peraturan arahan Perbendaharaan memang sudah menyediakan proses yang perlu dipatuhi semua pihak dan SPRM sebagai agensi pencegahan rasuah serta Kementerian Kewangan (MOF) turut melancarkan ‘integriti pack’ (saringan integriti dan surat akuan menolak elemen rasuah) yang memerlukan pemohon tender membuat ikrar tidak terbabit rasuah untuk mendapatkan tender kerajaan.
“Susulan itu, SPRM mengalu-alukan pengumuman dibuat Perdana Menteri dan semua pihak perlu memberi perhatian sepenuhnya terhadap arahan ini,” katanya kepada BH, di sini, hari ini.
BH hari ini melaporkan, Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinannya tidak akan mengizinkan sebarang kebocoran, ketirisan dan rasuah terus berleluasa.
Beliau berkata, soal perolehan dan kelulusan tanpa tender ini tidak boleh diteruskan pada semua peringkat.
Mengulas lanjut, Azam berkata, pengurniaan tender secara ‘runding terus’ mempunyai kelemahan kerana ia mendedahkan kepada isu salah guna kuasa dan rasuah.
“Tender terbuka seharusnya diamalkan dalam pemberian projek membabitkan kerajaan dan tender secara runding terus dikurangkan kerana ia mendedahkan kepada amalan salah guna kuasa serta rasuah.
“Bagaimanapun, tender secara runding terus ini dibenarkan dalam Perbendaharaan, tetapi hanya untuk tender tertentu dan pemberiannya perlu diperhalusi serta dipertimbangkan dengan teliti bagi mengelak isu salah guna kuasa dan rasuah berlaku,” katanya.
Ditanya tindakan pada peringkat kementerian, Azam berkata, semua pihak perlu mematuhi pengumuman dinyatakan Perdana Menteri itu.
“Sesiapa yang dilantik termasuk Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah dan ketua jabatan perlu mematuhi arahan mengikuti proses perbendaharaan ini. Patuhi arahan yang dirasakan terbaik,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jawatankuasa Pemikir Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Noor Mohamad Shakil Hameed, berkata pengumuman Anwar memang dinantikan kerana tender secara rundingan terus menjadi antara punca jenayah rasuah sukar ditangani.
Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu harus dihayati semua pihak dan bukannya retorik semata-mata khususnya apabila lantikan Kabinet dilakukan.
“Seperti kita ketahui, pemberian tender dilakukan pada peringkat kementerian dan semua pihak termasuk menteri Kabinet perlu memastikan hasrat Perdana Menteri ini direalisasikan sepenuhnya dan tidak melakukan agenda campur tangan politik yang akhirnya memberi kesan kepada penjawat awam itu sendiri.
“Kabinet yang dilantik perlu berusaha tidak mengganggu urusan pentadbiran penjawat awam yang akan melaksanakan kerja dan tindakan mengikut peraturan serta arahan sudah ditetapkan. Janganlah pengumuman ini sekadar retorik atau sebutan saja,” katanya.
-BH
(The Capital Post)