KUALA LUMPUR: Malaysia berada dalam keadaan terkawal daripada ancaman siber dan tiada keperluan untuk masyarakat berasa cemas mahupun panik, kata CEO CyberSecurity Malaysia (CSM), Amirudin Abdul Wahab.
Beliau berkata bagaimanapun semua pengguna internet harus mengambil tanggungjawab melindungi diri masing-masing daripada ancaman siber, dengan meningkatkan pengetahuan asas mengenai ancaman tersebut.
“CSM menawarkan pelbagai perkhidmatan keselamatan siber dalam konteks responsif dan penghalang untuk mencegah daripada kebocoran data dan melindungi keselamatan data melalui pengukuhan sistem keselamatan ICT (teknologi komunikasi dan maklumat).
Ini bagi membantu memperkukuh atau menyelamatkan keselamatan data… di CSM, kita juga ada Pusat Bantuan Cyber999 di mana jika berlaku apa-apa insiden, pengguna boleh melaporkan kepada kami di cyber999@cybersecurity.my ataupun telefon 1-300-88-2999,” katanya sambil menambah, CSM turut bekerjasama rapat dengan Jabatan Perlindungan Data Peribadi dalam konteks melindungi data rakyat Malaysia.
Beliau berkata demikian dalam program siaran langsung ‘Temu Minda Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM): Ancaman Siber, Adakah Malaysia Bersedia?’ bersama menterinya Saifuddin Abdullah, malam tadi.
Baru-baru ini, kumpulan penggodam Anonymous Malaysia yang kini disiasat polis, membuat ancaman untuk menggodam laman sesawang kerajaan menerusi klip video berdurasi 55 saat yang tular di media sosial.
Ia mendakwa sistem sekuriti Malaysia berada pada tahap rendah dan boleh menyebabkan penggodam menjual segala maklumat yang bocor, selain mengatakan lebih 46 juta data pengguna syarikat telekomunikasi telah digodam sehingga kini.
Anonymous Malaysia pada 29 Jan lepas sekali lagi memuat naik video berdurasi tiga minit 17 saat yang mendakwa “scammer” terus menipu orang ramai menerusi e-mel, panggilan telefon dan laman sosial sejak 2015 berikutan kebocoran data.
Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi Intellize Tech Services, Kavita Muthy berkata tahap keseriusan ancaman siber boleh seakan-akan atau menjadi lebih besar daripada pandemik Covid-19 kerana ia juga boleh menyebabkan kehilangan nyawa, perniagaan serta memberi impak kepada ekonomi.
“Ini termasuk buli siber, iaitu suatu perkara yang tidak beretika langsung kerana kalau dulu kita nak buli orang dekat padang sekolah, tetapi sekarang di laman siber dan ia datang dengan emosi, niat untuk balas dendam atau menyakitkan hati orang lain atau beri sesuatu impak negatif kepada individu terbabit,” katanya.
Terdahulu, Saifuddin berkata tema bagi sambutan Hari Keselamatan Internet di Malaysia pada 9 Feb ini adalah “Etika Siber” sambil memberitahu, rakyat berada dalam talian sekitar lima hingga 12 jam sehari secara purata.
Hari Keselamatan Internet disambut seluruh dunia pada hari kedua, minggu kedua bulan Februari setiap tahun.
-FMT