Taikun tekstil didakwa bersubahat cederakan bekas hakim

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Seorang taikun perniagaan tekstil dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan bersubahat menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas hakim, bulan lalu.

Bagaimanapun, pemilik Gulatis Silk House, Pavitar Singh Manjeet Singh, 54, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, dua lelaki menyebabkan cedera parah ke atas Datuk Jagjit Singh Bant Singh, 67, yang juga abang ipar tertuduh dan peguam, dengan menggunakan pemutar skru dan Pavitar Singh bersubahat melakukan kesalahan berkenaan di Solaris Dutamas, di sini, jam 12.50 tengah hari, 19 Oktober lalu.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 326 KK yang membawa kepada hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub, mencadangkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin terhadap usahawan berkenaan.

Bagaimanapun, peguam bela Pavitar, Jeremy Vinesh Anthony, memohon jaminan minimum atas alasan menjadi penanggung utama kepada isteri dan seorang anak.

“Anak guam juga adalah Pengerusi Gurdwara Sahib Titiwangsa dan mempunyai hubungan rapat dengan komuniti, selain tiada risiko untuk melarikan diri.

“Tertuduh memberi kerjasama selama empat hari ditahan dan ini kali pertama dia didakwa di mahkamah,” katanya.

Hakim kemudian membenarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Media melaporkan seorang taikun ditahan selepas pertelingkahan antara ahli keluarga membabitkan harta pusaka.

Ahli perniagaan itu dikatakan menjadi dalang utama di sebalik serangan ke atas dua peguam di pejabat mereka di Publika pada bulan lalu.

Peguam terbabit diserang dua individu yang memasuki pejabat itu atas alasan untuk mendapatkan khidmat guaman.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427