Tahap kesedaran pesakit kanser payudara masih kurang – Exco

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEREMBAN, — Tahap kesedaran pesakit kanser payudara untuk mendapatkan rawatan di hospital masih kurang memandangkan ramai daripadanya lebih berminat mendapatkan rawatan alternatif secara tradisional.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan S. Veerapan berkata itu merupakan antara faktor yang menyebabkan seseorang pesakit tidak mendapat rawatan awal dan sebahagian daripadanya telah di peringkat akhir kanser, selepas didiagnosis.

“Saya difahamkan bahawa kes kanser payudara telah meningkat sebanyak 20 peratus sepanjang tahun 2018 berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), yang mana kebanyakan pesakit yang didiagnosis adalah pada peringkat akhir kanser.

“Tidak lupa juga faktor-faktor lain yang menyebabkan pesakit tidak mendapatkan rawatan awal, antaranya adalah faktor sokongan keluarga, faktor kewangan dan masalah logistik,” katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran Pusat Pink Ribbon di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Perkhidmatan Pembedahan Am, Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Mohamed Yusof Abdul Wahab, Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Zainudin Mohd Ali dan Pengarah HTJ Dr Jazari Jamaludin.

Justeru, Veerapan berkata kesedaran kepada masyarakat untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan pada peringkat yang lebih awal perlu dipertingkatkan lagi.

Pusat Pink Ribbon telah memulakan operasinya pada 5 Feb tahun lepas dan sejak ia dibuka, lebih 284 pesakit telah mendapatkan rawatan di pusat itu sehingga Julai lepas.– BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427