Tahap kecekapan penjawat awam, kemahiran tenaga kerja negara mesti ditingkatkan – Anwar

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR : Tahap kecekapan penjawat awam dan tenaga kerja negara perlu ditingkatkan seiring kemunculan bidang-bidang baru yang memerlukan kemahiran tahap tinggi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, kecekapan itu diperlukan bagi membolehkan pelan dan dasar yang sedang dijayakan kerajaan bukan saja menarik dan memukau, sebaliknya pelaksanaannya kelak dilaksana dengan baik dan menyeluruh.

“Soal industri kenderaan elektrik (EV) dan transisi tenaga, ini tak jadi perkiraan dalam pelan dulu, tapi sekarang ditekankan sebagai pertambahan (bidang tumpuan baru). Negara dan badan antarabangsa juga beri penekanan sama.

“Sebab itu, tahap kecekapan pegawai mesti ditingkatkan. Jika tidak, pelan nampak menarik dan memukau, tapi pelaksanaan itu tidak menampakkan kelainan daripada dulu. Sebab itu saya tekankan kepada Datuk Bandar (Kuala Lumpur) dan rakan-rakan supaya gigih dan bersungguh-sungguh dalam tekad kita memastikan dasar ini dilaksana dengan baik,” katanya berucap melancarkan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 di sini hari ini.

Turut sama hadir, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh serta Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pelaburan besar yang diterima negara terutama dalam bidang automotif menerusi syarikat Geely, mengingatkan semua pihak akan keperluan mendesak untuk negara memberi latihan tambahan dari segi tenaga kejuruteraan dan teknikal.

“Jadi saya cadangkan dan mereka setuju untuk peringkat awal ini, kita mengirim 300 jurutera kelulusan TVET (Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)) ke China untuk dapatkan kepakaran tambahan untuk bertugas di Tanjung Malim.

“Infinion, syarikat Jerman yang setuju menambah pelaburan RM25 bilion di Malaysia juga menuntut kecekapan dan kemahiran yang lebih daripada kurus biasa (di universiti). Sebab itu umpamanya, saya usulkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk kita adakan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) pertama yang akan dibangunkan di UTM (Universiti Teknologi Malaysia),” katanya.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengingatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya tidak melengahkan sebarang pelaksanaan projek pembangunan di ibu negara yang sudah diputus dan diluluskan.

Beliau berkata, tindakan melengahkan pelaksanaan projek sedemikian akan memberi kesan dan kesukaran kepada pelbagai pihak, apatah lagi jika ia membabitkan kepentingan pelabur dan masyarakat.

“Sebab itu kita putuskan tadi, selepas dua minggu, laporan mesti sampai untuk dibentang (status) pelaksanaan (projek pembangunan) yang sudah diputuskan tadi. Kalau tidak, nanti pihak pengurusan tangguh sampai tahun depan kerana katanya Disember ini bulan yang separuhnya adalah cuti. Cuti-cuti juga, tapi dalam Disember itu mesti ada laporan berkala,” katanya.

Menyentuh Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 yang dilancarkan hari ini, Anwar berkata, ia memerlukan tekad dan kesungguhan warga DBKL untuk dijayakan biarpun akui berdepan beberapa cabaran dalam tempoh pelaksanaannya kelak.

“Pelan ini, cabarannya adalah pelaksanaannya. Kita tak perlu tunggu pelan untuk melaksanakan. Saya lihat tadi projek perumahan baru, sementara kita bagi ruang kepada orang yang mampu untuk meneruskan dengan projek-projek megah, mewah tetapi ada kesediaan dan tekad dari kalangan pengurusan DBKL menekankan aspek yang kita sebut dalam instisari pelan struktur ini.

“Sementara kita merangka pelan ini, pelaksanannya itu penting. Saya dapat saksikan dalam mesyuarat dua jam tadi bagaimana penekanan ini dambil kira. Cabaran kedua kita adalah kecepatan dan kepantasan untuk meluluskan. Sebelum itu dimulakan dengan rundingan dan teliti.

“Seperti biasa, ada masalah sekiranya kita lewat meluluskan. Ada pandangan saya rasa munasabah bukan saja di Kuala Lumpur tapi tempat lain yang disebut ‘The Ease of Doing Business (EoDB)’. Kepantasan dan kecepatan selepas mengambil kira semua peraturan yang diteliti,” katanya.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427