Tabung PTVM bantu anak seni kritikal

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Tidak dinafikan, di sebalik kerancakan industri seni dan kreatif yang kembali beroperasi seperti biasa selepas era pandemik COVID-19 melanda negara beberapa tahun lalu, masih terdapat beberapa penggiat bidang berkenaan terpaksa bergelut menyara hidup disebabkan kurang peluang pekerjaan.

Justeru, Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) mengambil inisiatif melancarkan Tabung Kutipan Anak Seni selepas mendapat maklum balas bahawa ramai penggiat seni terutama bagi industri kreatif televisyen (TV) yang masih tidak ada peluang pekerjaan dalam tempoh beberapa bulan.

Presiden PTVM, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, pihaknya akan mendapatkan sumbangan daripada mana-mana pihak terlebih dahulu sebelum meneruskan agenda penyerahan bantuan berbentuk wang tunai kepada penggiat seni yang memerlukan.

“Ada antaranya yang berdepan masalah dari segi kewangan termasuk menyukarkan membuat pembayaran rumah dan sebagainya.

“Berdasarkan maklumat diterima, kami cuba mengutip sumbangan daripada sesiapa sahaja untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

“Itu adalah inisiatif persatuan dan kami sudah dapat beberapa permintaan, insya-Allah dalam masa terdekat saya akan hantar bantuan wang tunai kepada mereka yang memerlukan.

“Saya difahamkan terdapat beberapa penggiat yang sudah berada dalam keadaan kritikal, jadi pihak kami akan cuba membantu secepat mungkin,” katanya kepada BH Online.

Jurey menjelaskan, inisiatif itu sebagai langkah segera yang sedang dijalankan dan dalam usaha jangka masa panjang.

Jadi, katanya, pihaknya sudah berhubung dengan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil supaya dapat memperhalusi bantuan lain yang boleh diberikan kerajaan.

“Apa yang dilakukan bagi usaha mewujudkan peluang pekerjaan dengan menambah peruntukan di RTM supaya stesen itu dapat membeli program TV.

“Setakat ini, kami lihat ada perkembangan positif dan menteri juga sudah memaklumkan memanggil Ketua Pengarah RTM untuk berbincang mengenai cara untuk membantu dalam perkara ini.

“Apa yang penting, kami mahu tahu berapa ramai yang terkesan. Kami mahu mereka memaklumkan dan jangan senyap atau uruskan sendiri.

“Beritahu kepada kami dan kemudian kami akan cuba untuk membantu,” katanya.

Mengulas lanjut, Jurey berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk memberi yang terbaik terhadap kepentingan industri kerana apa yang berlaku hari ini meninggalkan kesan begitu teruk.

“Sebelum ini, kita berhadapan dengan pandemik COVID-19 dan sekarang, situasi di mana tiada peluang pekerjaan. Kebanyakan penggiat industri mahu bekerja, tetapi peluang tiada.

“Dalam keadaan sekarang memang ada yang sangat terkesan dan memerlukan bantuan segera untuk pulih dan kembali bekerja.

“Apa yang dikenal pasti adalah kebanyakan daripada mereka memerlukan wang tunai untuk bayar rumah, bil dan sebagainya.

“Jadi, tabung ini mungkin boleh membantu semua yang memerlukan dan sejujurnya inisiatif ini bukanlah bertujuan bersaing dengan mana-mana badan lain yang turut melancarkan tabung bantuan mereka sendiri,” katanya.

Pada masa sama, Jurey berharap bantuan daripada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) termasuk menanti pengumuman daripada menteri mengenai senarai syarikat yang terpilih menerima bantuan termasuk apa sahaja yang terbaik untuk industri seni tanah air.

“Kami sangat yakin apa yang berlaku hari ini adalah disebabkan lambakan program daripada sebelum penularan pandemik COVID-19 yang masih belum siap.

“Disebabkan itu, banyak program yang dibawa ke tahun berikutnya, jadi harapan kami mungkin pihak kementerian boleh memohon peruntukan tambahan kepada RTM.

“Usaha ini bagi mendorong supaya RTM boleh beli lebih banyak program TV untuk merangsang ekonomi penggiat seni dengan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427