Syor rebat, subsidi 10 peratus kepada petani

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan digesa mempertimbangkan pemberian 10 peratus rebat cukai dan subsidi kepada petani dan bahan tani bagi meningkatkan bekalan makanan dalam tempoh segera.

Naib Presiden Kanan Parti Bangsa Malaysia (PBM), Steven Choong, berkata rebat cukai sebanyak 10 peratus itu dicadang diberikan ke atas cukai pendapatan yang perlu dibayar oleh petani dan pengeluar stok hidup.

Selain itu, katanya, subsidi sebanyak 10 peratus juga digesa diberikan kerajaan membabitkan baja dan makanan.

“Kerajaan juga perlu mengawal harga hasil pertanian seperti ayam pada tahap munasabah yang adil dan berpatutan kepada pengguna dan pengeluar.

“Semua cadangan itu adalah bagi meningkatkan bekalan makanan seperti sayur-sayuran, ayam dan telur dalam tempoh segera,” katanya melalui kenyataan, di sini.

Dunia termasuk Malaysia berdepan gangguan rantaian bekalan ekoran beberapa faktor utama iaitu krisis peperangan antara Russia dan Ukraine, perubahan iklim serta COVID-19.

Pada masa sama Choong berkata, sebagai tindak balas kepada krisis makanan global, Malaysia perlu mempertimbangkan untuk mewujudkan mekanisma yang akan memastikan bekalan mencukupi pada harga berpatutan tanpa banyak kebergantungan kepada import.

Ini kerana katanya, isu keselamatan makanan akan kekal untuk jangka masa agak lama.

“Kami percaya negara kita tidak harus abaikan keperluan mendesak untuk memodenkan sektor pembuatan melalui penggunaan teknologi yang berkaitan dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR. 4.0).

“Bagi rakyat Malaysia, masih ramai yang terperangkap dengan kaedah tradisional bercucuk tanam, menternak ikan dan ternakan,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya melihat kurangnya usaha memperkenalkan teknologi baharu untuk membimbing dan memantau masa terbaik bagi menyemai, membaja dan menuai serta membangunkan klon baharu.

Katanya, teknologi Blockchain sedang digunakan di negara lain tetapi masih belum digunakan di sini.

“Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mesti melihat isu ini secara serius dan menyegerakan pengeluaran makanan dengan menggalakkan usaha sama antara usahawan tempatan dan asing untuk mempercepatkan penyesuaian teknologi dalam penternakan, penternakan ikan dan stok hidup,” katanya.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427