KUALA LUMPUR: Seorang penyokong kerajaan mencadangkan kerajaan menambah baik MyKad dengan ciri keselamatan yang lebih tinggi bagi mengekang kegiatan sindiket penjualan kad pengenalan kepada warga asing.
Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) berkata, beliau berharap kerajaan ada cadangan untuk memperbaharui kad pengenalan sedia ada dengan ciri keselamatan khas berikutan MyKad kini seolah-oleh mudah dipalsukan.
“Kerajaan wajar mempertimbangkan cadangan itu demi kebaikan rakyat dan keselamatan negara,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.
Mei lalu, dilaporkan polis mendedahkan sedang menyiasat laman sesawang yang didakwa mengiklan dan menjual MyKad palsu secara dalam talian.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan siasatan dilakukan selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat laporan berhubung perkhidmatan ditawarkan laman sesawang itu.
Sindiket itu dilaporkan menjual dokumen peribadi palsu termasuk MyKad secara terbuka dalam laman sesawang pada harga sekitar AS$300 (RM1,295), manakala pasport pula dijual pada harga sekitar AS$1,400 (RM6,041).
Laman sesawang itu meminta pembeli mengisi maklumat peribadi seperti nama awal dan akhir, jantina, tarikh dan tempat lahir, alamat dan tanda tangan digital serta gambar berukuran pasport.
Selain Malaysia, negara lain yang turut menjadi mangsa sindiket penjualan kad pengenalan dan pasport secara dalam talian ini adalah Ireland, Belanda, Portugal dan Sepanyol.
-BH