Syor buka pawagam untuk penonton lengkap vaksinasi

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) memohon kerajaan mempertimbangkan pembukaan semula pawagam kepada penonton yang sudah lengkap mengambil dua dos vaksin sebagai langkah keselamatan.

Pengerusi MAFE, Tan Sri Datuk Mohd Ghazali Datuk Mohd Seth berkata, permohonan dibuat selari dengan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertimbangkan kelonggaran bagi aktiviti sukan, sosial dan makan di restoran bagi mereka yang sudah mendapat vaksinasi COVID-19 sepenuhnya.

Justeru, katanya, MAFE memohon pertimbangan kerajaan bagi membenarkan pembukaan semula pawagam di bawah peraturan yang sama.

“Oleh kerana kerajaan sedang mempertimbangkan pembukaan sektor terpilih bagi mereka yang sudah divaksinasi, industri pawagam juga memohon menjadi sebahagian daripada kelonggaran dan hak istimewa ini.

“Prosedur operasi standard (SOP) pawagam antara yang paling ketat, kami tidak membenarkan penonton berlegar-legar di pawagam. Penonton juga dikehendaki sentiasa memakai pelitup muka sepanjang masa, selain memastikan penjarakan fizikal dan tempat duduk.

“Dengan membenarkan penonton yang sudah divaksinasi ke pawagam, kami yakin pawagam akan menjadi tempat yang selamat untuk mencari ketenangan dan hiburan.

“Kami percaya ia sangat penting untuk pemulihan kesihatan mental rakyat di negara ini,” katanya kepada BH Online.

Mohd Ghazali berkata, walaupun mengenakan SOP yang ketat, namun pawagam sering menjadi sektor perniagaan pertama ditutup dan menjadi perniagaan terakhir mendapat kebenaran beroperasi semula.

Setakat ini, katanya, belum pernah wujud kluster panggung wayang, namun pengusaha tetap diarahkan menutup pawagam selama lebih 200 hari sejak tahun lalu.

“Ia mengakibatkan kerugian lebih RM500 juta secara keseluruhan dan penurunan 90 peratus pendapatan daripada tahun ke tahun.

“Tahun ini, pawagam sudah ditutup lebih 150 hari mengakibatkan pengusaha panggung wayang terpaksa menanggung kerugian yang besar.

“Perbezaan ketara dapat dilihat daripada tahun ke tahun, di mana industri ini secara kolektif menyumbang lebih RM1.08 bilion pendapatan dan RM250 juta dalam bentuk cukai hiburan kepada negara,” katanya.

Beliau berkata, penutupan tanpa rela mengakibatkan industri panggung wayang lumpuh dan mengancam mata pencarian 20,000 tenaga kerja sama ada kehilangan pekerjaan atau berdepan pemotongan gaji yang banyak.

“Pemamer pula terpaksa berdepan dengan penutupan pawagam secara tetap dan pengurangan operasi yang ketara.

“Tanpa sokongan kewangan kerajaan, pawagam tidak berupaya mempertahankan perniagaan kerana perlu melabur untuk penyelenggaraan harian pawagam dan mengekalkan pekerja,” katanya.

Terdahulu, penutupan berpanjangan pawagam menyaksikan pengunduran pemamer ketiga terbesar, MBO Cinemas pada tahun lalu.

Secara keseluruhan, lebih 25 peratus pawagam ditutup secara kekal disebabkan penutupan jangka panjang dan MAFE menjangkakan jumlah itu akan meningkat sekiranya pawagam masih tidak dibenarkan beroperasi.

“Keputusan pemilihan sektor penting dan tidak penting perlu diubah selepas vaksinasi diberikan secara besar-besaran.

“Semua industri penting untuk mengekalkan kesejahteraan rakyat, tiada alasan untuk industri pawagam terus ditutup, manakala aktiviti sukan dan sosial dibuka semula dalam kelonggaran baharu.

“MAFE ingin menyarankan kerajaan supaya berbincang dengan organisasi terbabit untuk bekerjasama dalam membuka semula pawagam secara selamat di bawah SOP pasca vaksinasi yang baharu,” katanya.

Mohd Ghazali berkata, pihaknya percaya hasrat kerajaan membuka semula industri terpilih memberi kelegaan kepada rakyat yang sudah mengambil suntikan vaksinasi sepenuhnya.

“Bagaimanapun, pembukaan pawagam juga penting buat mereka yang mengalami kemerosotan kesihatan mental selepas menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak setahun lalu.

“Kami yakin pawagam berupaya menyediakan tempat yang selamat untuk merehatkan minda dengan harga berpatutan ditawarkan,” katanya.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427