PARIS: Pemain nombor dua dunia Iga Swiatek digantung sebulan selepas diuji positif dengan bahan terlarang, umum Agensi Integriti Tenis Antarabangsa (ITIA) semalam.
Swiatek, 23, diuji positif mengambil ubat jantung trimetazidine (TMZ) di luar pertandingan pada Ogos 2024 ketika pemain Poland itu menduduki ranking nombor satu dunia.
Bagaimanapun ITIA menerima hakikat ia disebabkan oleh “pencemaran ubat bukan preskripsi terkawal (melatonin), yang dikeluarkan dan dijual di Poland yang diambil oleh pemain itu kerana masalah jet lag dan susah tidur.”
“Oleh itu, pelanggaran itu tidak disengajakan… tahap kesalahan pemain dianggap berada di tangga terbawah dalam julat bagi ‘Tiada Kesalahan Ketara atau Kecuaian’,” kata ITIA.
Juara bertahan Terbuka Perancis, Swiatek, yang turut memiliki lima gelaran perseorangan Grand Slam – empat di Roland Garros dan Terbuka AS 2022 – menerima hukuman penggantungan itu.
“Saya akhirnya dibenarkan… jadi saya mahu berkongsi segera dengan anda sesuatu yang menjadi pengalaman terburuk dalam kehidupan saya,” tulis Swiatek penuh emosi dalam media sosial.
“Dalam dua setengah bulan lalu saya tertakluk kepada prosiding ITIA yang ketat, mengesahkan saya tidak bersalah.
“Satu-satunya ujian doping positif dalam karier saya, menunjukkan tahap bahan terlarang yang sangat rendah yang tidak pernah saya dengar sebelum ini, mempersoalkan setiap apa yang saya lakukan selama ini.
“Saya dan pasukan saya terpaksa berdepan tekanan dan kebimbangan yang luar biasa. Sekarang semuanya sudah dijelaskan dengan teliti dan dengan catatan yang bersih saya boleh kembali kepada perkara yang paling saya sukai.”
Swiatek digantung pada awalnya bermula 22 September hingga 4 Oktober lalu, terlepas tiga kejohanan, yang turut termasuk dalam penggantungan itu sekali gus dia hanya perlu menamatkan penggantungan itu dalam lapan hari sahaja lagi.
Dia juga terpaksa melupakan hadiah wang daripada Terbuka Cincinnati, kejohanan berikutnya selepas ujian itu, yang mana dia tumpas kepada Aryna Sabalenka pada perlawanan akhir.
-AFP
-BeritaHarian