PUTRAJAYA: Suspek wanita dalam kes penipuan 26 jemaah umrah yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Rabu lalu ditahan reman dua hari bermula semalam bagi membantu siasatan.
Jurucakap Balai Polis Bentong, Pahang memaklumkan pihaknya menerima satu laporan berkenaan kes itu membabitkan seorang mangsa wanita dan kes disiasat mengikut Akta 420 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, suspek wanita itu ditahan reman di Balai Polis Bentong dan polis juga sudah mengambil keterangan daripada wanita yang membuat laporan semalam.
Katanya, setakat ini polis Bentong hanya menerima satu laporan membabitkan kes berkenaan dan empat lagi laporan diterima di utara tanah air.
“Reman ke atas suspek tamat hari ini dan selepas itu wanita berkenaan akan dibawa ke Kedah untuk tahan reman bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi.
Semalam media melaporkan seramai 26 jemaah umrah terkandas di KLIA selepas syarikat pengendali yang diuruskan oleh seorang wanita gagal menyediakan tempat penginapan dan tiket untuk berlepas ke Makkah.
Syarikat itu kononnya menyatakan tarikh penerbangan adalah pada 25 Disember jam 3.30 petang dengan penerbangan Etihad namun ia tidak wujud.
Modus operandi adalah dengan menawarkan pakej murah RM4,5000 seorang dan ada peserta berhadapan kerugian sehingga RM20,900.
Sementara itu seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Julia, 26, berkata beliau sudah hadir ke Balai Polis Bentong bagi membuat laporan semalam.
Katanya, pada masa sama dia juga sudah memberi keterangan kepada polis bagi membantu siasatan.
“Saya berharap lebih ramai lagi mangsa membuat laporan polis agar mangsa dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman setimpal, ” katanya.
-BeritaHarian